X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, sedia disasarkan untuk menjadi sebuah aplikasi semua dalam satu oleh Elon Musk. Untuk tujuan tersebut, sejumlah ciri baharu perlu ditambah, termasuk melibatkan kewangan.
Selari dengannya, kini pihak X berkongsi mengatakan X bakal memperkenalkan ciri kewangan mereka pada tahun ini bermula dengan pengguna di Amerika Syarikat, dinamakan X Money. Untuk tujuan tersebut, X mengumumkan kerjasama dengan pihak Visa.
X Money dijangka akan memudahkan pemindahan dana kewangan antara pengguna, mahupun untuk melakukan pembayaran dengan mudah. Ia juga dijangka menjadi antara perkhidmatan sosial yang mengintegrasikan sokongan kewangan di dalamnya.
Untuk makluman, proses pemindahan dana kewangan antara pengguna di Amerika Syarikat adalah agak sukar dan tidak begitu mesra pengguna. Ini sekaligus membawa kepada aplikasi seperti PayPal, Venmo dan sebagainya yang memudahkan proses berkenaan di sana, berbeza dengan sistem kewangan Malaysia yang lebih maju dihadapan dengan sokongan seperti DuitNow dan lain-lain.
Memperluaskan perkhidmatan kewangan ke luar Amerika Syarikat juga mungkin mengambil masa yang lama, memandangkan perlu mendapatkan kebenaran beroperasi, lesen dan menguruskan kewangan pada setiap negara.
X sendiri dijangka akan menggunakan ciri tersebut untuk membayar para penerbit kandungan di platform tersebut, sebelum memperluaskan penggunaannya secara berperingkat. Sama-sama kita nantikan langkah X seterusnya dalam arena ini.