Kenderaan yang membawa VIP mempunyai kemampuan tambahan seperti kaca kalis tembakan, tayar tahan pancit dan blok enjin yang dilindungi plat besi. Bagi VIP yang ingin ketenangan daripada serangan mush, Rezvani Vengeance telah dihasilkan untuk mereka dengan ia bukan sahaja boleh menangkis serangan raifal dan bom tetapi juga serangan senjata EMP.

Ini menjadikan Vengeance lebih mirip dengan sebuah kereta perisai tentera berbanding SUV biasa di jalanan. Ia dibina berasaskan platform T1 oleh General Motor yang digunakan pada SUV seperti Cadillac Escalade. Terdapat pilihan menggunakan enjin petrol dengan 420 kuasa kuda atau diesel dengan 277 kuasa kuda sahaja.

Selain kaca tingkap yang boleh menahan serangan peluru raifal 7.62x51mm NATO, ia mempunyai bahagian bawah yang boleh menahan serangan bom. Rezvani menawarkan pakej tambahan seperti mesin asap yang mengaburi pemandangan kereta yang cuba mengekori, lampu limpah terang yang membutakan mata di belakang dan pancutan cecair lada hitam untuk menghalang penyerang berhampiran kereta. Perlindungan daripada EMP pula memastikan sistem elektronik kenderaan masih berfungsi selepas berlakunya ledakan bom nuklear.

Pintu pula mempunyai kunci palang deadbolt yang apabila diaktifkan membuatkan ia tidak boleh dikupil oleh penyerang. Walaupun apabila dipandang dari luar ia nampak seperti kereta perisai, ruang penumpang boleh diperibadikan dengan kelengkapan moden seperti TV pintar, kerusi empuk mewah dan iPad. Penumpang juga menerima baju dan helmet kalis peluru serta topeng gas yang digunakan di saat kecemasan sahaja.
Harga jualan Rezvani Vengeance bermula daripada $285,00 (~RM 1.242,600) untuk model asas dan meningkat ke $750,000 (~RM 3,274,000) untuk model yang lebih mewah.