Carian
Kadar Gaji Minimum RM1,700 Sebulan Berkuat Kuasa Mulai Esok
January 31, 2025 Amy Maizuraa

Perintah kadar gaji minimum baharu RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa mulai esok iaitu 1 Februari 2025. Sejumlah 4.37 juta pekerja bakal menikmati manfaat gaji minimum baharu ini selaras dengan agenda kerajaan yang menekankan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Duit Ringgit

Dalam satu kenyataan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan majikan perlu mematuhi Perintah Gaji Minimum ini dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan. Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan dan boleh didenda di bawah Akta Majlis Perundangan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Pelaksanaan ini juga melibatkan majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan. Sementara itu majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja pula, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos 2025.

Beberapa inisiatif turut disediakan kepada majikan dan pekerja bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan dengan lancar. Antaranya seperti sesi libat urus diadakan untuk majikan memahami pelaksanaan Perintah Gaji Minimum. Saluran aduan juga disediakan untuk pekerja menghadapi isu ketidakpatuhan perintah ini. Selain itu, kerjasama juga dibentuk diantara pihak agensi berkaitan dalam usaha memberi panduan serta bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji.

Komen