Carian
Ulasan Poco X7 Pro – Relevan Lagi Ke “Baik Beli Poco”?
February 3, 2025 Fahim Zahar

Siapa sahaja tidak kenal dengan terma “Baik beli Poco!” Ia menjadi popular sejak Poco mula menawarkan peranti dengan spesifikasi mercu tetapi dijual pada harga mampu. Cuma kini pada tahun 2025 dengan banyak pengeluar telah menawarkan pelbagai peranti lebih menarik, adakah Poco masih relevan? Di dalam artikel ini saya kongsi pengalaman penggunaan Poco X7 Pro selepas lebih dua minggu.

REKAAN DAN SPESIFIKASI

SKRIN6.67″ CrytalRes AMOLED 1.5K+, 120Hz
3200 nits, Gorilla Glass 7i, Dolby Vision
CPUMediatek Dimensity 8400 Ultra (4nm)

1×3.25 GHz Cortex-A725
3×3.0 GHz Cortex-A725
4×2.1 GHz Cortex-A725
GPUMali-G720
MEMORI12GB RAM +
12GB RAM Maya
STORAN256/512 GB
KAMERA BELAKANG50 MP, f/1.5,
8 MP Ultra-lebar, f/2.2
KAMERA HADAPAN20 MP, f/2.2
AUDIOSpeaker Stereo
Dolby Atmos
BIOMETRICap Jari (Optikal)
SISTEM OPERASIHyperOS 2.0
Android 15
SAMBUNGANWiFi 5
Bluetooth 6
PERLINDUNGANIP69
BATERI6,000mAh
90W (Berwayar)
HARGARM1499 (8/256 GB)
RM1599 (12/256 GB)
RM1699 (12/512 GB)

Pada X7 Pro kali ini Poco membawa rekaan yang berbeza dengan X7 biasa kerana kedudukan kamera diletakkan secara menegak. Sekali imbas pada kedudukan kamera Poco X7 Pro ini terus mengingatkan saya pada iPhone 16. Poco X7 Pro yang berwarna hitam di tangan saya ini menggunakan dua tona warna berbeza pada panel belakangnya ini. Dengan konsep rekaan sebegini ia membuatkan Poco X7 Pro ini kelihatan premium dan mahal namun kesan cap jari atau kotoran sangat mudah melekat disebabkan kemasan yang berkilat. 

Poco X7 Pro menggunakan rekaan yang lebih rata dan berkotak. Terdapat butang kawalan suara dan butang kuasa pada bahagian kiri peranti. Pada bahagian atas, terdapat sensor infra-merah. Port pengecasan UBS-C, speaker dan slot untuk kad SIM diletakkan di bahagian bawah peranti.  Seperti kebanyakan peranti di luar sana, Poco X7 Pro ini turut sokongan kad mikro SD. 

Dari segi perlindungan, Poco X7 Pro ini dilengkapi dengan IP68 dan menggunakan Corning Gorilla Glass 7i namun anehnya Poco X7 yang lebih murah menggunakan ketahanan yang lebih baik iaitu Gorilla Glass Victus 2. 

SKRIN

Dengan skrin yang rata pada Poco X7 Pro ini ia membuatkan pengalaman menonton kandungan pada peranti ini lebih memuaskan. Gabungan skrin 6.67” CrystalRes AMOLED, resolusi sehingga 1.5K, kadar segar semula 120Hz, mempunyai sokongan HDR10+ dan Dolby Vision memberikan pengalaman yang sangat baik tidak kiralah untuk kegunaan media sosial, menonton filem mahupun untuk bermain permainan mudah alih. Bezel pada skrin peranti ini juga sekata. 

Dengan kecerahan maksimum sehingga 3200 nits ditambah lagi dengan mod Sunlight, tiada sebarang isu untuk menggunakan peranti ini di luar. Terdapat juga pengimbas cap jari di bawah skrin dengan sensor jenis optikal yang cukup pantas dalam kelasnya. 

PRESTASI DAN PENANDA ARAS 

Antara salah satu faktor peranti dari Poco sangat terkenal adalah dari segi prestasi dalamannya. Dengan pengguna cip yang terbaru dari MediaTek Dimensity 8400-Ultra, memori 12GB RAM LPDDR5X yang boleh ditambah sehingga 12GB memori maya dan penggunaan storan UFS 4.0 – menjadikan peranti ini sangat lancar untuk penggunaan seharian. 

Sebagai perbandingan, saya memilih Dimensity 8350 (Oppo Reno13 Pro), Snapdragon 7+ Gen 3 (Oneplus Nord 4) dan Dimensity 9200+ (Vivo V40 Pro).

AnTuTu 3D 

  • Poco X7 Pro – 1,590 533
  • Oppo Reno13 Pro – 1,150 560
  • OnePlus Nord 4 – 1,049 461
  • vivo V40 Pro – 1,524 100

Geekbench 6 

  • Poco X7 Pro – 1575/6121
  • Oppo Reno13 Pro – 1319/4143
  • OnePlus Nord 4 – 1384/3932
  • vivo V40 Pro – 1798/5177

3DMark Wildlife Extreme

  • Poco X7 Pro – 3839
  • Oppo Reno13 Pro – 2880 
  • OnePlus Nord 4 – 2713
  • vivo V40 Pro – 3824

Sudah semestinya prestasi pada Poco X7 Pro ini tidak mengecewakan ditambah dengan ciri WildBoost 3.0, pengalaman bermain permainan mudah alih sangat mengasyikkan. Permainan yang berat seperti CarX Street boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan sederhana ke tinggi. Permainan seperti MLBB boleh dimainkan dalam tetapan paling tinggi dan dapat memberikan pengalaman yang sangat memuaskan.

Isu peranti memanas seakan-akan tidak terasa kerana pada sesi permainan peranti hanya sekadar menjadi suam dan keadaan yang sama apabila menggunakan kameranya. Dengan prestasi sebegini, Poco X7 Pro ini tidak akan mendatangkan sebarang isu untuk penggunaan seharian. 

PENGALAMAN PENGGUNAAN – HYPEROS 2.0

Poco X7 Pro adalah satu lagi peranti yang menjalankan sistem operasi HyperOS 2.0 berasaskan Android 15. Sebagai pengguna yang kali pertama menggunakan peranti di bawah Xiaomi, HyperOS seakan ColorOS yang lebih ceria dan berwarna-warni. Kemudian dari sudut pandangan seorang yang menggemari ColorOS 15 pada Oppo Find X8 dan pengguna setia Nothing OS pada Nothing Phone (2a), agak menjengkelkan yang HyperOS 2.0 pada peranti ini penuh dengan iklan dan aplikasi gendut.

Walaupun iklan boleh dimatikan dan aplikasi gendut boleh dibuang, ia adalah satu tugasan yang melecehkan untuk ramai pengguna. Mereka yang kurang mahir akan tidak sedar aplikasi dan iklan ini berjalan di latar dan boleh menjejaskan prestasi serta bateri peranti. Harap suatu hari nanti, proses menghentikan iklan ini lebih mudah.

Apa pun, Poco X7 Pro ini turut tidak lupa menawarkan pelbagai pilihan kustomasi. Dari kunci skrin, Always-On Display, notifikasi dan animasi pengimbas cap jari dan banyak lagi – semuanya menarik dan boleh memperibadikan peranti mengikut citarasa sendiri. Untuk peranti tahun 2025, AI adalah ciri yang tidak boleh dilupakan dan apa yang ditawarkan boleh diterima dan cukup berguna. Namun ciri paling menarik yang kami tauliahkan terbaik pada tahun 2024 iaitu Circle to Search masih tiada pada peranti ini.

Banyak artikel saya baca yang MIUI versi baharu adalah sistem operasi yang kurang digemari ramai dan HyperOS adalah iterasi terbaik Xiaomi. Sebagai pengguna kali pertama produk di bawah ekosistem Xiaomi, saya rasakan HyperOS ini sangat lancar dan ia memberikan pengalaman yang memuaskan. Poco X7 Pro ini juga agak baik untuk digunakan dalam jangka masa panjang dengan sokongan kemas kini 3+4 tahun.

KAMERA

Pada Poco X7 Pro kali ini ia hadir dengan tetapan dwi-kamera di belakang iaitu sensor 50MP Sony IMX882, OIS dan sensor sudut ultra lebar 8MP. Sementara untuk kamera hadapan ia menggunakan sensor 20MP. Dari perspektif pengguna Nothing Phone (2a), konfigurasi dwi-kamera adalah perkara yang baik dan saya boleh memanfaatkan kedua-dua sensor tanpa perlu merisaukan ketiadaan sensor ketiga yang biasanya gimik untuk peranti pesaing dalam kelas sama.

Hasil gambar pada waktu siang kelihatan sangat baik dengan warna yang sangat semula jadi dan tajam. Di suasana kurang cahaya seperti pada waktu malam, gambar kelihatan kurang tajam dan banyak kesan hingar. Poco kali ini masih ada masalah algoritma kamera yang kurang cerdik dalam tetapan terbaik mengikut situasi.

Kualiti gambar untuk sensor sudut ultra-lebar agak memuaskan. Ia mempunyai sudut pandangan yang luas dan sentiasa nampak kemas dan cantik. Namun kerana penggunaan sensor kelas rendah, butirannya sukar untuk dihargai. Secara ringkas, kualiti kamera pada Poco X7 Pro ini cukup memadai untuk peranti yang tidak begitu memfokuskan kepada fotografi. Untuk video, sehingga hari ini Poco masih tidak mampu menawarkan kemampuan rakaman video seakan peranti Xiaomi atau Redmi. Ia sentiasa ada masalah yang hasilnya akan ada sesuatu yang tidak menepati citarasa.

TELEFONI, WIFI, GPS

Kualiti panggilan telefon dan sambungan data 4G/5G pada peranti ini memberi pengalaman seakan peranti mercu sebenar. Namun untuk sambungan WiFi, peranti ini kerap mengalami masalah sambungan terputus di tahap yang menjengkelkan. Sepanjang dua minggu penggunaan, saya banyak korbankan kuota Internet saya yang terhad. Aneh sekali, isu GPS yang kerap berlaku pada peranti Poco tidak berlaku pada X7 Pro.

BATERI DAN PENGECASAN

Kapasiti bateri yang dimuatkan dalam Poco X7 Pro ini adalah sebesar 6000mAh. Ia merupakan jumlah yang terbesar yang dimuatkan dalam peranti Poco siri X. Dengan bateri sebesar itu saya tiada masalah untuk dapatkan SOT 7-8 jam penggunaan sepanjang hari. Dari segi pengecasan, ia turut mendapat penambaikan dari segi kelajuan iaitu 90W HyperCharge dan memakan kurang 1 jam untuk mengecas penuh dari 0% ke 100%. Apa yang penting, pengecas masih lagi diberikan di dalam kotak untuk setiap pembelian. 

APA DALAM KOTAK?

  • 1x Poco X7 Pro
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas 90W HyperCharge
  • 1x Kerangka pelindung silikon
  • 1x Buku panduan dan keselamatan

PESAING

Poco X7 ProOppo Reno13 ProOnePlus Nord 4
6.67″ CrytalRes AMOLED 1.5K+,
120Hz, 3200 nits, Dolby Vision,
Gorilla Glass 7i,
6.83″ LTPO AMOLED FHD+ 120Hz, HDR10+
Corning Gorilla Glass 7i
6.78″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz
Dimensity 8400 Ultra (4nm)

1×3.25 GHz Cortex-A725
3×3.0 GHz Cortex-A725
4×2.1 GHz Cortex-A725
Dimensity 8350 (4 nm)

1 x 3.35 GHz Cortex-A715
3 x 3.20 GHz Cortex-A715
4 x 2.20 GHz Cortex-A510
Snapdragon 7+ Gen 3 (4nm)

1 X 2.8 GHz Cortex X4
4 X 2.6 GHz Cortex A720
3 X 1.9 GHz Cortex A520
Mali-G720Mali G615-MC6Adreno 732
12GB RAM +
12GB RAM Maya
12GB RAM LPDDR5X16GB LPDDR5X
256/512 GB512GB UFS 4.0512GB UFS 4.0
Kamera Utama

50 MP, f/1.5,
8 MP Ultra-lebar, f/2.2
Kamera Utama

50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), OIS
50 MP, f/2.8, 85mm (telefoto)
8 MP, f/2.2, 15mm, (ultra lebar)(Sudut Ultra Lebar)
ƒ/2.2
Kamera Utama

50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Hadapan
20 MP, f/2.2
Kamera Hadapan
50 MP, f/2.0
Kamera Hadapan
16 MP f/2.4
IP69IP68/IP69IP65
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
6,000 mAh
Berwayar 90W
5,800 mAh
Berwayar 80W
Nirwayar 50W
5,500 mAh
Berwayar 100W
RM1499 (8/256 GB)
RM1599 (12/256 GB)
RM1699 (12/512 GB)
RM2,999 (12/512GB)RM2,599 (16/512GB)

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, seperti kebanyakan peranti Poco sebelum ini, Poco X7 Pro ini merupakan salah satu peranti yang memfokuskan kepada spesifikasi yang sangat menarik perhatian seperti skrin yang cantik, prestasi yang pantas dan ketahanan bateri yang sangat baik. Kekurangan pada prestasi kamera bukanlah satu isu yang besar untuk peminat Poco kerana sentiasa menerima dan menyedari apa yang dibeli sesuai dengan harganya.

Pada harga permulaan RM1,299 untuk varian 8GB+256GB ia merupakan satu harga yang sangat mampu milik berbanding pesaing lain yang menawarkan spesifikasi sama. Jika anda tahu untuk matikan iklan dan buang aplikasi gendut, percayalah Poco X7 Pro ini akan menjadi peranti kegemaran anda jika anda tidak mahu nantikan Poco siri F generasi baharu.

Pro

  • Skrin AMOLED sangat cantik
  • Prestasi yang sangat memuaskan 
  • Ketahanan bateri yang baik
  • Kamera utama memuaskan
  • Rekaan serba baru

Kontra

  • Aplikasi gendut dalam HyperOS
  • Sambung WiFi selalu terputus
  • Mudah melekat cap jari di panel belakang
  • Gambar mod malam kurang memuaskan
  • Kualiti lensa ultra-lebar kurang tajam

*Diulas dan ditulis oleh pelatih Amanz, Amzari dengan teks tambahan oleh Fahim Zahar.

Komen