Instagram Kini Menambah Fungsi Terjemahan Dalam DM
Amy Maizuraa
Dalam Instagram terdapat banyak pilihan yang boleh membantu kita menggunakan aplikasi dengan lebih baik. Contohnya seperti fungsi terjemahan yang kini diintegrasikan terus dalam ruangan sembang peribadi (Direct Messages). Ini memudahkan pengguna berkomunikasi dengan orang dari pelbagai latar belakang, di samping memahami konteks mesej yang ingin disampaikan.

Ia boleh diakses melalui ruang sembang dengan cara tekan lama pada mesej yang hendak diterjemahkan. Satu tetingkap akan muncul dengan beberapa pilihan termasuk Translate dan secara automatik teks yang diterjemah akan dipaparkan selepas fungsi itu ditekan. Pengguna turut boleh menekan Hide Translation bagi melihat semula mesej yang diterjemah dalam bahasa asalnya.

Cubaan ringkas kami mendapati terjemahan teks dibuat ke dalam bahasa Inggeris. Dalam masa sama berlaku juga ketidaktepatan penggunaan ayat dalam sesetengah situasi. Ini bermakna sekadar sesuai dijadikan rujukan asas semata dengan semakan lanjut yang diperlukan. Pastikan juga aplikasi telah dikemaskini dengan versi baharu untuk mengakses ciri ini.