Apple kini dilaporkan telah membatalkan sebuah projek memfokuskan pembangunan kaca mata realiti-terimbuh yang dihubungkan ke peranti mereka, seperti Mac. Projek berkenaan tidak diumumkan kepada umum setakat ini oleh Apple.
Ia dikatakan peranti berkenaan kelihatan seperti sebuah kaca mata biasa, dan mempunyai skrin terbina dan memerlukan sambungan ke komputer Mac. Projek ini sebelum ini dilihat sebagai kesinambungan kepada Apple Vision Pro sebelum ini, dan menyasarkan supaya pengguna menggunakannya setiap hari. Namun, Apple dilihat menghadapi cabaran dalam menghubungkan teknologi terbaik pada kos terbaik.

Apple dikatakan pada awalnya ingin menghubungkan kaca mata pintar ini ke iPhone, namun ia memberikan kesan terhadap penggunaan bateri iPhone dan cabaran teknikal lain, membawa kepada menghubungkan kaca mata pintar berkenaan kepada Mac yang biasanya mempunyai kuasa pemprosesan dan bateri lebih tinggi.
Namun, prestasi kaca mata pintar berkenaan dikatakan agak lemah ketika dipertontonkan secara dalaman membawa kepada pembatalannya. Walaubagaimanapun, pembatalan projek ini mungkin tiada kaitan dengan pembangunan projek kaca mata pintar yang beroperasi secara kendiri oleh Apple.
Pada hari ini, Meta sedia menerajui arena kaca mata pintar ini, dan sedia menawarkan beberapa model hasil kerjasama dengan pihak Ray-Ban. Meta turut telah memperlihatkan kaca mata pintar yang lebih maju dengan integrasi skrin dan data masa-nyata, yang dijangka hadir dalam beberapa tahun lagi. Selain Meta, baru-baru ini, Samsung telah mengumumkan hasrat untuk hadir dengan kaca mata pintar mereka tersendiri.