Porsche Design Honor Magic7 RSR dan Honor Magic7 Pro merupakan dua peranti premium yang bukan sahaja menawarkan perkakasan dalaman yang berkuasa. Tetapi mempunyai lambakan teknologi AI sesuai dengan kehendak pengguna semasa. Kedua-duanya juga merupakan peranti kelas mercu dengan fokus terhadap kamera serba boleh.

Bagaimanapun menentukan model paling sesuai dengan keperluan tidak semudah membalikkan tapak tangan. Ada pertimbangan yang perlu difikirkan sebelum membuat pilihan terakhir. Dalam artikel ini dikongsikan perbezaan utama kedua-dua peranti mulai dari rekaan, perkakasan, kamera dan bateri. Ia boleh menjadi jawapan yang bantu menentukan mana satu paling sesuai dengan keperluan.
Rekaan Dan Skrin
Honor Magic7 RSR | Honor Magic7 Pro | |
Skrin | 6.8″ LTPO OLED, 120Hz | 6.8″ LTPO OLED, 120Hz |
Teknologi HDR | Dolby Vision, HDR Vivid | Dolby Vision, HDR Vivid |
Keterangan | 1600 nits (HBM), 5000 nits (peak) | 1600 nits (HBM), 5000 nits (peak) |
Resolusi | 1280 x 2800 piksel / 19.5:9 ratio (~453 ppi) | 1280 x 2800 piksel / 19.5:9 ratio (~453 ppi) |
Jenis kaca | 10x Anti scratch & Drop NanoCrystal Shield | 10x Anti scratch & Drop NanoCrystal Shield |
Kedua-dua telefon ini mempunyai kualiti binaan yang premium. Magic7 Pro mempunyai dimensi 162 x 77.1 x 8.8mm dengan berat 223 gram. Magic7 RSR juga memiliki dimensi yang sama tetapi lebih berat kira-kira 228 gram. Dimensi yang sama menjadikan peranti-peranti ini selesa digunakan dalam pelbagai situasi termasuk sebelah tangan.
Memegang untuk tempoh lama memang terasa baik meskipun pada mulanya Magic7 RSR terasa berat jika digunakan secara berterusan. Selain itu sentuhan baharu diberikan khususnya bahagian belakang kaca dilihat menyerlahkan rekaan keseluruhan. Gaya futuristik turut boleh dilihat melalui rekaan malar hijau yang mengekalkan DNA jenama ini.

Apa yang membezakan kedua-duanya apabila Magic7 RSR mempamerkan ciri unik yang mengambil inspirasi daripada Porcshe Taycan Turbo S. Ia mempunyai susun atur simetri unik di bahagian belakang. Selain itu menggunakan bonggol kamera berbentuk heksagon. Jika dibandingkan dengan Magic7 Pro, ia dilihat menonjol dan mudah dikenal pasti sama seperti generasi sebelum.



Namun seperti biasa bahagian belakang kaca biasanya terasa licin di tangan justeru disarankan memakai kerangka pelindung untuk meningkatkan kekuatan genggaman. Ia juga mudah memerangkap kotoran cap jari namun masih menghasilkan kilauan menarik yang meningkatkan setiap pilihan warna disediakan.
Dari segi paparan, kedua-dua peranti berkongsi paparan 6.8″ OLED LTPO beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Resolusi ini dapat memastikan teks dan imej yang kelihatan tajam. Terdapat juga kecerahan puncak HDR 5000 nit dan puncak global 1600 nit untuk kandungan visual yang jelas dalam semua keadaan pencahayaan.



Dengan kemampuan semula jadi panel OLED yang boleh memaparkan warna hitam gelap dan julat warna cukup baik menjadikan paparan peranti mempunyai penghasilan semula warna yang terang. Honor turut menggunakan NanoCrystal Shield sebagai pelindung paparan bagi mengelakkan kesan calar yang boleh mengundang sakit mata apabila melihatnya.
Skrin Magic7 RSR juga dikatakan 10 kali ganda lebih tahan lasak melalui teknologi baharu. Pada masa yang sama dapat menangani semburan air dengan tekanan tinggi tanpa mengalami kerosakan.

Ciri-ciri lain yang ada pada kedua-dua peranti adalah pembesar suara stereo, inframerah, dwi nano-SIM dan NFC. Terdapat juga Bluetooth 5.4 bagi sambungan yang lancar sama ada ke fon telinga, pembesar suara atau peranti lain. Keadaan bertambah baik dengan adanya beberapa ciri seperti A2DP (Advanced Audio Distribution Profile), LE (Low Energy) serta aptX HD yang menjadikan pengalaman sambungan tadi menjadi lebih baik.
Perkakasan Dan Perisian
Honor Magic7 RSR | Honor Magic7 Pro | |
Cip | Snapdragon 8 Elite (3nm) | Snapdragon 8 Elite (3nm) |
Memori | 24GB RAM | 12/16GB RAM |
Storan | 1TB | 512GB/1TB |
Sistem Operasi | MagicOS 9.0 (Android 15) | MagicOS 9.0 (Android 15) |
Bercakap tentang prestasi pula kedua-duanya dikuasai dengan cip Snapdragon 8 Elite yang dibina melalui seni bina 3nm dan GPU Adreno 830. Gabungan ini dapat memastikan peranti mampu mengendali tugas harian dengan mudah.

Sama ada kerja multi-tugas, bermain permua atau memproses aplikasi berat yang memerlukan sumber yang besar mampu memberikan pengalaman kelajuan serta kecekapan peranti dalam pakej seimbang. Permua turut boleh dimainkan pada kadar bingkai tinggi dengan perincian yang baik untuk pengalaman bermain lebih menyeronokkan. Ia juga dipasangkan dengan perisian MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 yang menyokong ciri berasaskan AI. Misalnya seperti AI Deepfake Detection, Magic Portal 2.0, AI Notes, AI 3D Avatar, AI Dual-way Noise Reduction, AI Translation, AI Magic Capsule, AI Magic Retouch dan lain-lain.





Dari segi konfigurasi memori dan storan dalaman, Magic7 Pro didatangkan dalam dua pilihan iaitu 12GB RAM dengan storan 512GB dan 16GB RAM bersama storan 1TB. Magic7 RSR pula menyediakan pilihan yang lebih besar mencapai 24GB RAM dengan storan 1TB. Pilihan yang besar ini membawa manfaat yang boleh mempengaruhi prestasi peranti untuk berfungsi dengan lancar tanpa kemerosotan yang ketara. Dengan storan UFS 4.0 pula kadar pemindahan data lebih pantas boleh dilakukan bagi mengurangkan masa muat-turun untuk aplikasi.
Kamera Dan Hasil Gambar
Honor Magic7 RSR | Honor Magic7 Pro |
Kamera Utama: 50 MP, f/1.4-2.0, 24mm (lebar), OIS 200 MP, f/2.6, 72mm (periskop telefoto), OIS 50 MP, f/2.0, 12mm (ultra-lebar) PDAF | Kamera Utama: 50 MP, f/1.4-2.0, 24mm (lebar), OIS 200 MP, f/2.6, 72mm (periskop telefoto), OIS 50 MP, f/2.0, 12mm (ultra-lebar) PDAF |
3X optical zoom / 100X digital zoom Sistem LiDAR Matrix Autofocus (1200 Points) | 3X optical zoom / 100X digital zoom |
Kamera swafoto: 50 MP, f/2.0, 21mm (lebar), PDAF TOF 3D, (kedalaman/sensor biometric) | Kamera swafoto: 50 MP, f/2.0, 21mm (lebar), PDAF TOF 3D, (kedalaman/sensor biometric) |
Magic7 RSR dan Magic7 Pro mempunyai persediaan kamera utama serba boleh dengan sensor lebar 50MP (f/1.4-f/2.0), ultra lebar 50MP (f/2.0) dan telefoto 200MP (f/1.88) dengan OIS. Sensor telefoto juga menyokong zum optikal sebanyak 30 kali dan digital 100 kali.

Sensor lebar pula mempunyai aperture berubah-ubah diantara f/1.4 – f/2.0 yang membolehkan kamera melaraskan saiz aperture secara automatik berdasarkan keadaan pencahayaan. Selain itu mempunyai mod makro yang membolehkan sensor ultra lebar ini mengunci fokus pada objek yang dekat dengan mudah lalu menangkap butiran kecil dengan jelas.

Tidak ketinggalan pastinya rakaman video 4K60FPS (EIS+OIS) boleh dilakukan pada kedua-dua peranti untuk nilai tambah bagi peminat fotografi. Pelbagai tangkapan disediakan seperti AI Enhanced Portrait, AI Super Zoom, Stage Mode, Motion Sensing Capture, Multi-video, AI photography, High RES, Time-lapse, Super Wide Angle, Aperture, Night, Super Macro, Portrait, Pro, Story, Light Painting, HDR dan lain-lain.
Bagaimanapun sensor 200MP pada Magic7 RSR telah dinaiktaraf dan boleh memulihkan warna serta butiran tepat objek dengan mudah. Ia juga dilengkapi sensor 1/1.4″ dengan aperture f/1.88″ yang besar dilihat menjadi kelebihan yang menarik. Sistem LiDAR Matrix Autofocus dengan 1200 Points disertakan juga mampu meningkatkan ketepatan serta kelajuan fokus bagi memastikan tangkapan gambar objek bergerak yang lebih jelas.
Peminat swafoto juga akan menghargai kamera hadapan 50MP + 3D Depth Camera pada kedua-dua peranti yang juga boleh merakam video 4K. Selain turut mempunyai pelbagai mod tangkapan seperti Portrait, Filter, Capture smiles, Mirror reflection, Timer, Gesture control dan Night.
Bateri Dan Pengecasan
Honor Magic7 RSR | Honor Magic7 Pro |
Bateri 5850mAh | Bateri 5850mAh |
Berwayar 100W Nirwayar 80W Berbalik 5W | Berwayar 100W Nirwayar 80W Berbalik 5W |
Magic7 RSR dan Magic7 Pro menawarkan bateri silikon karbon generasi ketiga 5,850mAh menjadikannya peranti terkini dengan kapasiti terbesar dalam segmen mercu. Kelebihan utama terletak pada komposisi bateri yang mengandungi 10% silikon pada elektrod negatif lalu digabungkan dengan cip Honor E2 4-in-1 Power Enhanced yang direka khas. Gabungan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan kuasa tetapi membolehkan pengesanan kesihatan bateri lebih baik. Ia juga menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan nirwayar 80W.
Mana Yang Sesuai Dengan Gaya Hidup?
Memilih di antara Magic7 RSR dan Magic7 Pro akhirnya bergantung kepada bajet dan keperluan khusus. Jika anda seorang pencipta kandungan yang gemar dengan kamera serba boleh bersama ciri AI menarik bermakna Magic7 RSR boleh memberi nilai tambahan menarik.
Begitu juga dengan mereka yang mengutamakan permua dan kerja multi-tugas melalui pilihan RAM yang besar maka peranti itu mungkin bermanfaat. Bagi anda yang memerlukan prestasi berkuasa pada kos lebih rendah, Magic7 Pro sesuai dijadikan pilihan yang baik.
Pertimbangkan keperluan penggunaan harian kerana kedua-dua peranti menawarkan keupayaan yang berkuasa. Magic7 RSR membentangkan naik-taraf untuk sistem kamera. Sementara itu, Magic7 Pro pula kekal menjadi pilihan yang kukuh dalam mengimbangi prestasi dan penawaran kos yang berbaloi.