Carian
Ulasan Samsung Galaxy S25 Ultra – Pixel Untuk Global 2.0
February 6, 2025 Effi Saharudin

Samsung Galaxy S25 Ultra ialah Google Pixel untuk global untuk tahun kedua berturut-turut. Dari sudut positif ini ialah peranti Pixel yang seharusnya dihasilkan oleh Google kerana menggabungkan pelbagai ciri perisian unik yang tidak ditawarkan pada peranti Android maupun iOS di pasaran sekarang.

Dari sudut negatif pula ialah sekali lagi tumpuan yang terlalu mendapat ke atas perisian membuatkan perkakasan S25 Ultra sudah menjadi sedikit basi. Tetapi adalah saya masih boleh menyarankan pembeliannya kepada pembaca? Ini ulasan penuh untuk Samsung Galaxy S25 Ultra.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S25 Ultra
Skrin6.9″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO
WQHD+, 120Hz, HDR10+

Corning Gorilla Armor 2
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm)
Cip2x Oryon V2 Phoenix L 4.47 GHz
6 xOryon V2 Phoenix M 3.53 GHz
GPUAdreno 830
RAM12GB LPDDRR5x
8GB Memori maya
Storan256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/1.9 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X)
50MP f/3.4, OIS (Telefoto 5X)
Kamera Hadapan12 MP f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
Berbalik 4.5W
SIM/TelefoniDwi SIM/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin ultrasonik
Imbasan wajah
HargaRM 5999 (12/256GB)
RM 6599 (12/512GB)
RM 7799 (12/512GB)

Skrin

Skrin adalah sebesar 6.9″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz LTPO. Ini hanyalah 0.1″ lebih besar berbanding S24 Ultra. Ini dilakukan dengan bezel yang lebih nipis dan oleh itu saiz tubuh S25 Ultra tidak berubah. Oleh itu kerangka S24 Ultra boleh digunakan semula pada S25 Ultra.

Skrin masih hanya menyokong paparan HDR10+ sahaja tidak seperti pengeluar Android lain yang turut menawarkan sokongan Dolby Vision. Kebarangkalian Dolby Vision akan disokong dalam masa terdekat adalah kelam kerana HDR10+ adalah format yang dibangunkan Samsung bersama dengan Panasonic dan 20th Century Fox. Seperti tahun lalu skrin mempunyai lapisan anti silau yang membuatkan skrin memantulkan cahaya dengan lebih baik. Diharap lapisan ini lebih tahan lama berbanding pada S24 Ultra yang mula hilang selepas digunakan selama 6 bulan.

Sokongan S Pen turut masih disertakan cuma tahun ini stylus tidak lagi hadir dengan sokongan bluetooth. Keputusan yang agak mengecewakan kerana hanya Samsung menawarkan ciri yang membolehkan stylus mengawal kamera. Lebih mengecewakan Samsung kini mengatakan ciri bluetooth langsung tidak disokong S25 Ultra walaupun anda membeli sebuah S Pen Pro.

Seperkara lain yang boleh saya katakan sistem haptik juga terasa sama sahaja dengan tahun lalu. Saya boleh katakan pada saat ini skrin terbaik Android kini ialah yang digunakan pada siri Oppo Find X8 yang terasa lebih realistik setanding dengan yang dinikmati pada iPhone.

Biometri

Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Imbasan dapat dilakukan dengan pantas walaupun dengan pantas walaupun dengan skrin yang dihidupkan terlebih dahulu seperti sistem pada peranti Android lain.

Sistem imbasan wajah turut diberikan cuma ia hanya beroperasi dengan baik dalam situasi tidak terlalu gelap. Walaupun skrin menyala terang untuk melakukan imbasan wajah, saya sedari dalam keadaan gelap kebarangkalian untuk ia gagal adalah agak tinggi.

Rekaan Pelanduk Tiga Serupa

Hanya dua perubahan dilakukan pada rekabentuk luaran S25 Ultra. Pertama bahagian sisi kini rata sepenuhnya yang membuatkannya kelihatan lebih mirip dengan S25 dan S25+. Peranti nampak lebih tegap dan terasa lebih selesa dalam tangan kerana permukaan sisi yang kini lebih luas berbanding sisi melengkung yang digunakan selama ini. Tubuh S25 Ultra mengekalkan bahan binaan titanium yang tahan lasak. Namun begitu saya tidak berani pula melakukan ujian hentakan untuk melihat sama ada ia benar-benar tahan lasak seperti yang diiklankan.

Kemudian bahagian bucu juga dibulatkan. Ini perubahan yang secara peribadi kurang saya senangi kerana skrin dengan bucu tajam sebelum ini nampak lebih “kacak”. Kandungan dalam skrin penuh juga tidak terpotong kerana skrin seharusnya empat segi bukan empat segi dengan bucu dibulatkan seperti TV CRT lama.

Kedudukan semua butang, talam SIM, tempat simpanan S Pen, kekisi audio dan lubang mikrofon masih lagi sama. Di belakang terdapat barisan empat kamera dan flash kali ini dengan gelung hitam mengelilingi lensa dan bukan lagi gelung perak seperti S24 Ultra. Estetik Z Fold6 kini dipindahkan ke semua siri S25. Bonggol tidak terlalu besar dan tinggi jika dibandingkan dengan peranti Android dan iPhone lain di pasaran. Panel belakang juga diperbuat daripada kaca bagi membolehkan pengecasan nirwayar Qi disokong.

Kamera belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 50MP, telefoto periskop 50MP dan telefoto 3X 10MP. Di hadapan sekali lagi sensor 12MP digunakan. Penambahbaikan hanya dilakukan pada lensa ultra lebar yang sebelum ini hanya sebesar 12MP. Setahu saya sensor yang sama digunakan seperti tahun lalu dengan sebarang perubahan hanya dilakukan pada perisian.

Tubuh peranti pula melepasi piawaian kalis debu serta air IP68. Adalah canggung melihat Samsung menawarkan IP68 sahaja sedangkan Oppo, Vivo dan Honor sudah menawarkan peranti IP69 sejak penghujung tahun lalu.

Penggunaan Dan Perisian

Sistem operasi One UI 7 digunakan dengan ia berasaskan Android 15 dengan perubahan dapat dilihat pada ikon, susunan menu pada talam aplikasi, rekaan talam pintasan pantas dan pelbagai lagi ikonografi yang kini semakin menghampiri Google Pixel. Sebagai pengguna tegar Samsung sejak era TouchWiz, saya harus akui keputusan untuk menjadi semakin hampir kepada Android stok bukanlah sesuatu yang saya senangi. Antaramuka Samsung mempunyai rekaan tersendiri yang sudah saya gunakan lebih sedekad. Perubahan seperti ini membuatkan saya terasa seperti menggunakan Pixel 9 Pro XL yang saya rasakan antara peranti yang paling mengecewakan tahun 2024.

Maka sekali lagi S25 Ultra saya boleh labelkan sebagai Pixel untuk global kerana Google masih memasarkan telefon pintar mereka ke semua negara dunia. Pengalaman menggunakan S25 Ultra kini semakin seakan Pixel cuma jauh lebih lancar. Dengan Snapdragon 8 Elite for Galaxy, terdapat kuasa mencukupi untuk menjalankan pelbagai aplikasi dengan pantas tanpa tersekat-sekat seperti Pixel 9 Pro XL yang sekadar menggunakan Tensor G4.

Pelbagai ciri baharu seperti integrasi Google Gemini yang lebih maju dan boleh membuka lebih banyak aplikasi tiba ke S25 Ultra terlebih dahulu sebelum diberikan kepada Pixel. Saya perlu menyentuh mengenai tahap kelancaran kerana One UI 7 ialah sistem operasi mereka yang paling lancar setakat ini. Saya boleh letakkannya setanding dengan iPhone 16 Pro Max tetapi sedikit di belakang Oppo Find X8. Perbezaan kelancaran ini dapat dirasakan apabila saya kembali menggunakan S24 Ultra semasa ulasan ini dilakukan.

Ciri AI baharu yang diperkenalkan ialah Now Brief yang memberikan rumusan harian pada waktu pagi, tengahari, malam dan lewat malam. Ia memberikan agenda harian, ramalan cuaca, ringkasan tahap kesihatan dan pola tidur. Samsung mengatakan ia boleh memberikan saranan perjalanan di waktu pagi sebelum ke pejabat dan rangkuman berita.

Tetapi selepas seminggu menggunakan S25 Ultra, dua ciri ini langsung tidak muncul sedangkan saya telah mengaktifkannya pada telefon. Tidak diketahui bagaimanakah cara untuk memaparkan berita paling hangat dan pelbagai lagi ciri yang dijanjikan kerana ia tidak diberitahu oleh Samsung.

Wujud juga Now Bar yang memaparkan maklumat masa nyata seperti keputusan perlawanan bola terus dari skrin kunci. Ia bolehlah dilihat sebagai Dynamic Island tetapi dengan belon bujur di bahagian bawah skrin. Ia sekadar notifikasi Google Chrome yang kini lebih besar dan ketara. Now Bar juga boleh mengawal muzik yang sedang distrim. Ia masih belum 100% seperti Dynamic Island kerana tiada ciri notifkasi Grab secara masa nyata seperti yang wujud pada iPhone dan peranti Oppo. Implementasi Now Bar terasa tidak cukup masak.

Dalam ulasan Pixel 9 Pro saya tahun lalu, saya mengkritik Gemini yang masih tidak cukup berkemampuan melakukan tugasan seperti memberitahu agenda harian. Menerusi S25 Ultra, sokongan Gemini dikembangkan kepada beberapa aplikasi Google, Meta dan Spotify bagi menyelesaikan isu yang wujud pada Pixel 9 Pro.

Sebagai contoh saya boleh menyuruh Gemini mencari lokasi restoran sedap di Kuantan (tempat saya bercuti semasa Tahun Baru Cina) dan kemudian menghantar senarai kepada isteri menggunakan SMS. Saya masih berharap integrasi lebih banyak aplikasi dapat dilakukan kerana masih tidak boleh menyuruh Gemini menghantar senarai ini dalam bentuk emel dan WhatsApp seperti yang dijanjikan.

Samsung meneruskan janji menawarkan kemas kini 7 versi Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun pada S24 Ultra. Ini sama seperti tahun lalu. Di saat ini hanya Google dan Samsung memberikan sokongan jangka panjang tujuh tahun pada peranti keluaran mereka.

Ciri baharu menjadi perhatian tetapi ciri lama yang diperkenalkan tahun lalu kembali semula dengan beberapa penambahbaikan. Wasih wujud Call Assist yang melakukan alih bahasa secara masa nyata ketika panggilan telefon.

Chat Assist masih boleh mengubah karangan yang ditaip ke bahasa terpilih secara automatik sebelum ia dihantar menerusi WhatsApp dan Messages. Note Assist boleh melakukan rumusan dokumen yang dihasilkan secara automatik bagi mereka yang tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaca.

Suntingan gambar dan video menggunakan AI juga ditambah baik. Imej janaan dalam Photo Studio nampak lebih realistik berbanding tahun lalu dengan pilihan gaya yang lebih pelbagai. Dalam rakaman video pula, AI Eraser boleh memadam bunyi bising di belakang secara automatik. Ini amatlah berguna jika rakaman luar dilakukan dan anda tidak mahu video dipadam oleh platform kerana melanggar hak cipta lagu yang berkumandang.

Kesemua ciri Galaxy AI yang dinyatakan di atas adalah percuma sehingga 31 Disember 2025. Samsung masih belum berkongsi maklumat apakah yang akan terjadi pada 1 Januari 2026 dan apakah ciri yang boleh terus digunakan selepas tarikh ini.|

Penanda Aras

Seperti biasa empat aplikasi penanda aras telah saya gunakan untuk melihat prestasi Snapdragob 8 Elite for Galaxy pada S25 Ultra. Markah yang dicatatkan kemudian dibandingkan dengan telefon dengan cip-cip seperti senarai di bawah. Saya difahamkan 8 Elite for Galaxy ialah cip yang hanya ditawarkan kepada Samsung untuk peranti mereka dengan perubahan pada kelajuan CPU dilakukan.

  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
  • Snapdragon 8 Elite (Gaming) – Redmagic 10 Pro
  • Snapdragon 8 Elite (Biasa) – Realme GT7 Pro
  • Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
  • Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
  • Apple A17 Pro – Apple iPhone 15 Pro Max
  • Tensor G4 – Google Pixel 9 Pro XL

AnTuTu 3D

CipSkor
Snapdragon 8 Elite for Galaxy1,946,864
Snapdragon 8 Elite (Gaming)2,279,886
Snapdragon 8 Elite (Biasa)2,642,097
Dimensity 94002,629,017
Apple A18 Pro1,720,751
Apple A17 Pro1,542,050
Tensor G41,016,712

Geekbench 6

CipSatu TerasMulti Teras
Snapdragon 8 Elite for Galaxy29579435
Snapdragon 8 Elite for Galaxy (Gaming)30099295
Snapdragon 8 Elite for Galaxy (Biasa)27899002
Dimensity 940026638959
Apple A18 Pro33598129
Apple A17 pro27936925
Tensor G419164644

Geekbench AI

CipSkor Ketepatan TunggalSkor Ketepatan SeparuhSkor Quantized
Snapdragon 8 Elite for Galaxy272727034580
Snapdragon 8 Elite (Gaming)227723564132
Snapdragon 8 Elite (Biasa)230723233027
Dimensity 9400172817402147
Apple A18 Pro397577446204
Apple A17 Pro370565155696
Tensor G4205820173129

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Snapdragon 8 Elite for Galaxy6135
Snapdragon 8 Elite (Gaming)6647
Snapdragon 8 Elite (Biasa)5922
Dimensity 94006251
Apple A18 Pro4560
Apple A17 Pro3746
Tensor G42567

Skor yang dicatatkan adalah cukup tinggi jika dibandingkan dengan A18 Pro dan Snapdragon 8 Elite biasa. Anda mahukan prestasi? S25 Ultra sangat tidak mengecewakan. Semua permainan video yang boleh dimuat turun di Play Store boleh dijalankan pada tetapan yang paling tinggi. Paling bagus ialah semua permua tadi boleh dijalankan tanpa peranti terasa panas.

Sesi COD Mobile boleh dimainkan bertali arus denga tubuh hanya suam-suam kuku. Ini kerana cip 8 Elite for Galaxy yang lebih bagus dalam penggunaan kuasa dan juga kebuk penyejuk baharu yang lebih besar tahun ini. Tidak ada perkara negatif boleh saya tulis mengenai prestasi S25 Ultra kerana ia memang benar-benar ultra!


Kamera

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP f/1.7 (OIS), ultra sudut lebar 50MP f/1.9 , telefoto 3X 10MP f/2.4 (OIS) dan telefoto periskop 50MP f/3.4 (OIS). Ini dipadankan dengan kamera hadapan 12MP. Seperti telah saya katakan di atas, hanya lensa ultra sudut lebar dipertingkatkan dengan sensor lain sama dengan S24 Ultra.

Mulakan dengan perkara positif terlebih dahulu. Kamera mempunyai mod zum yang sangat stabil dan paling mudah digunakan di Android. Gambar yang diambil cantik dalam pelbagai situasi dan tanpa mengira tahap pencahayaan. Mod HDR cemerlang mengimbangi kawasan gelap dan terang. Dalam dilihat mod potret yang semakin bijak membezakan objek dengan bahagian latar. Kamera pantas dan sangat berguna kerana mempunyai empat lensa berbeza.

Yang negatif pula ialah saya tidak dapat melihat perbezaan dengan kamera tahun lalu kecuali mod potret yang lebih baik. Sukar membezakan gambar yang diambil dengan S25 Ultra dan S24 Ultra. Dalam ujian buta di pejabat Amanz, majoriti tidak dapat membezakan gambar diambil kecuali mula melakukan zum pada gambar ultra sudut lebar. Peningkatan daripada 12MP ke 50MP hanya ketara pada lensa ini sahaja. Kesimpulannya ialah tiada perubahan ketara dapat dilihat tahun ini tetapi gambar yang diambil masih lagi amat baik jika dibandingkan dengan peranti mercu dalam kelas yang sama.

Berikut pula ialah gambar yang diambil pada tetapan zum 1x, 3x, 10x, dan 30x. Gambar yang diambil masih mempunyai tahap ketajaman yang memuaskan sehingga 10X sahaja. Pada tetapan 30X imej mula pecah dan pada 100X sahaja saya rasakan imej langsung tidak boleh diterima kualitinya.


Bateri

Bateri masih lagi sekadar 5000 mAh dengan pengecasan masih lagi 45W sahaja. Sekali lagi tiada sekelumit perubahan berbanding S24 Ultra. Berita baik ialah ketahanan bateri adalah sangat baik. Dalam penggunaan sederhana tiada masalah peranti bertahan sepanjang hari. Jika pengecas dicabut jam 7 pagi, peranti masih mempunyai 30% bateri pada jam 10 malam.

Dalam penggunaan lebih berat, SOT sehingga 8-9 jam dapat dicapai secara konsisten. Ini membuatkan saya semakin kecewa bateri masih lagi 5000 mAh. Jika S25 Ultra dilengkapi bateri 6000 mAh seperti Realme GT7 Pro, sudah pasti hayat bateri lebih lama dapat dinikmati oleh pemilik. Kerana pengecasan sekadar 45W, bateri dicas daripada 0-100% dalam masa 70 minit.


Pesaing

Samsung Galaxy S25 UltraOppo Find X8 ProApple iPhone 16 Pro Max
6.8″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, 120Hz
HDR10+, 2600 nit
6.78″ LTPO AMOLED 120Hz Dolby Vision, 4500 nit6.9″ Super Retina XDR OLED,120Hz,
Dolby Vision, 2000 nit
Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm)
2x 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 PhoenixM
Dimensity 9400 (3 nm)
1×3.63 GHz Cortex-X925
3×3.3 GHz Cortex-X4
4×2.4 GHz Cortex-A720
Apple A18 Pro (3nm)
2×4.05 GHz
4×2.42 GHz
Adreno 830Immortalis-G925Apple GPU
12 GB LPDRR5X12 GB LPDRR5X8GB RAM
256/512/1000 GB UFS 4.0512 GB UFS 4.0256/512/1000 GB NVMe
Kamera Utama
200 MP, f/1.7 (Sudut Lebar), OIS
50 MP, f/1.9 (Ultra Lebar),
10 MP. f/2.4 (Telefoto 3X), OIS
50 MP, f/3.4 (Telefoto 5X), OIS
Kamera Utama
50 MP, f/1.6 (Sudut Lebar), OIS
50 MP, f/2.0 (Ultra Lebar)
50 MP, f/2.6 (Telefoto 3X)
50 MP. f/4.3 (Telefoto 6X)
Hasselblad
Kamera Utama
48 MP f/1.8(Sudut Lebar), OIS
12 MP f/2.2 (Ultra Lebar)
48 MP f/2.8 (Telefoto 5X), OIS
Kamera Hadapan
12 MP f/2.2
Kamera Hadapan
32 MP
Kamera Hadapan
12MP f/1.9
IP68IP68/IP69IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W
Berbalik 4.5W
5910 mAh
Berwayar 80W
Nirwayar 50W
Berbalik 10W
4685 mAh
Berwayar 25W
Nirwayar 25W
RM 6299 (12/256GB)
RM 6799 (12/512GB)
RM 7799 (12/1000GB)
RM 4999 (16/512GB)RM5,999 (8/256GB)
RM6,999 (8/512GB)
RM7,999 (8/1000GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy S25 Ultra
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Hakikatnya ialah S25 Ultra tahun ini mungkin lebih serasi menggunakan nama S24 Ultra Remastared kerana Samsung mula menyerupai Apple dengan menawarkan penaiktarafan yang semakin kecil setiap tahun. Perubahan yang dilakukan pada perkakasan adalah terlalu sedikit sehingga dapat saya lihat ia menimbulkan rungutan daripada peminat tegar.

Adakah S25 Ultra sebuah peranti gagal? Tidak. Adakah ia peranti yang teruk? Tidak? Adakah ia membawakan perubahan pada perisian yang dapat dirasakan? Ya. Adakah saya puas hati menggunakan S25 Ultra selama dua minggu? Ya tentu sekali. Adakah masih berbaloi? Mungkin tidak kerana pada hemat saya S24 Ultra dengan One UI 7 kelak berkemungkinan besar akan mempunyai kemampuan Galaxy AI yang sama tetapi dengan harga jualan yang kini semakin mampu milik.

Kesimpulannya ini tahun terakhir Samsung boleh menawarkan peranti yang 90% perkakasan dikitar semula. “Kemalasan” mereka untuk melakukan perubahan yang ketara tahun demi tahun akan mendatangkan risiko Samsung Galaxy akan diberikan nama sandaran baharu Samsung GaLAZY.

Oppo, Honor, Vivo, OnePlus, Realme, Xiaomi dan Redmi sudah semakin agresif dengan penawaran produk dengan spesifikasi lebih mantap tetapi pada harga lebih munasabah. Kekuatan Samsung sekarang masih terletak pada sut perisian yang terbaik di Android dengan sokongan selama 7 tahun. Tetapi jika harga kurang serasi dengan keadaan ekonomi pengguna Malaysia dan perkakasan yang jelas tidak setanding pesaing mereka akan bercucuran air mata apabila keranda diusung.

Di Malaysia jualan sekali Samsung Galaxy S25 Ultra pula dijual pada harga bermula RM5999 untuk 12/256GB.

Pro

  • Rekaan tubuh menjadikan ia lebih selesa dalam tangan dan nampak lebih teguh.
  • One UI 7 adalah amat lancar.
  • Snapdragon 8 Elite for Galaxy menawarkan kuasa memproses yang elit.
  • Ciri AI yang dipertingkatkan lagi kemampuannya.
  • Kalis air dan debu IP68.
  • Sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti
  • Ketahanan bateri yang semakin baik.

Kontra

  • Perubahan spesifikasi minima.
  • S Pen tidak lagi menyokong bluetooth.
  • Kapasiti bateri kecil dan pengecasan perlahan berbanding pesaing.
  • Galaxy AI hanya percuma sehingga 31 Disember 2025.
  • Tiada perubahan drastik pada kemampuan kamera.

Komen