Carian
Samsung Mempatenkan Fon Telinga Teknologi UWB Untuk Audio Berkualiti Tinggi
February 3, 2025 Effi Saharudin

Kekangan teknologi bluetooth menyebabkan audio berkualiti tinggi pada tetapan nirhilang tidak dapat dinikmati pada fon telinga secara nirwayar. Dengan orang ramai sentiasa meminta teknologi ditambah baik, kelak audio berkualiti tinggi boleh dinikmati pada peranti Samsung. Ini adalah berdasarkan paten yang difailkan oleh Samsung yang menggantikan sambungan bluetooth dengan teknologi ultrawide band (UWB).

Dokumen teknologi difailkan di Pejabat Paten Amerika Syarikat (USPTO) pada 30 Januari lalu. Menerusinya sepasang fon telinga akan dipadakan kepada sebuah peranti menggunakan bluetooth terlebih dahulu. Apabila sambungan ke fon telinga kiri dan kanan telah dilakukan, sambungan akan ditukar pula kepada UWB.

UWB mempunyai kelebihan kerana mempunai jalur lebar yang lebih besar kerana beroperasi pada frekuensi 6.5-9 GHz berbanding bluetooth yang menggunakan frekuensi 2.4 GHz. Selain membolehkan penstriman audio resolusi lebih tinggi secara nirwayar, UWB juga mempunyai jarak tambahan sehingga 25 meter. Ini pula adalah lebih jauh berbanding sekitar 10 meter sahaja menggunakan bluetooth.

Walaupun paten telah difailkan, ini tidak bermakna produk audio menggunakan UWB akan dilancarkan dalam masa terdekat. Pada ketika ini UWB hanya digunakan oleh Samsung pada produk seperti Galaxy SmartTag untuk menjejak objek menggunakan telefon mercu mereka.

Komen