Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa seorang jurucakap dari Meta, yang bertanggungjawab untuk platform permesejan WhatsApp mereka telah mengesahkan bahawa sejumlah pengguna perkhidmatan tersebut telah digodam oleh Paragon Solutions, sebuah syarikat perisian hasad dari Israel.
Reuters yang melaporkan perkara ini mengatakan bahawa pihak WhatsApp telah mengesan bahawa Paragon Solutions telah menggodam sekitar 90 pengguna aplikasi permesejan tersebut di sekurang-kurangnya 24 buah negara.
Individu-individu yang terkesan dengan godaman ini dilaporkan termasuklah wartawan terkemuka dan ramai orang awam, dan ia tidak diketahui mengapa insiden-insiden godaman ini berlaku. Pihak WhatsApp juga mengesahkan bahawa diantara individu-individu yang terkesan dengan serangan godaman ini adalah sebahagian daripada kumpulan pengawas internet Citizen Lab dari Kanada.
Apa yang lebih mengerikan tentang godaman ini ialah pengguna-pengguna yang digodam ini dihantar fail dokumen digital yang tidak perlu dibuka. Setelah ia dimuat-turun secara automatik kedalam peranti pengguna, ia diaktifkan sendiri, dan butiran-butiran yang terkandung didalam peranti itu dapat dihantar terus ke mesin pelayan penggodam.
Pihak Meta mengatakan bahawa mereka akan terus mengawasi situasi ini, dan akan memperbaiki sekuriti platform mereka untuk mengelakkan daripada perkara ini berulang.