Illegear, jenama komputer gaming dan produktiviti tempatan baru-baru ini telah mengemaskini penawaran binaan komputer desktop mereka dengan kad grafik terbaru keluaran NVIDIA, iaitu NVIDIA GeForce RTX 5000.
Siri komputer yang memperlihatkan kemaskini penawaran ini termasuklah Illegear AURA, ATLAS dan PIXEL. Daripada apa yang dapat kami lihat, komputer-komputer desktop ini semuanya hadir dengan pilihan cip pemprosesan AMD dan Intel yang terbaru (AMD Ryzen 9000 dan Intel Core Ultra 200) dan ditawarkan bersama-sama dengan pilihan kad grafik yang meluas, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 5080.

Menariknya Illegear dilihat akan menawarkan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 juga, tetapi mungkin kerana kekangan stok kad grafik tersebut yang sedang melanda dunia, ia belum ditawarkan buat masa ini.
Jika anda berminat untuk membina sebuah komputer dengan spesifikasi dalaman yang terbaru dan paling berkuasa, anda boleh ke laman web Illegear untuk memilih binaan PC desktop yang paling sesuai untuk anda.