EcoFlow Mungkin Akan Menawarkan Pelan Langganan Untuk Stesen Janakuasa Mudah Alih Mereka
Fahim Zahar
Nampaknya dunia ini tidak boleh lari dari perkhidmatan yang memerlukan pengguna membayar secara langganan bulanan. Secara tidak langsung, kehidupan normal yang beli produk terus menjadi milik kini perlu mempunyai komitmen bulanan untuk ia kekal boleh digunakan. Terbaru, EcoFlow akan memperkenalkan pelan langganan untuk menggunakan stesen janakuasa mudah alih mereka.

Ciri langganan ini dikatakan sedang diuji kepada golongan kecil pengguna yang terpilih. Ia adalah untuk digunakan bersama PowerStream, iaitu salah satu ciri untuk penawaran produk solar mereka. PowerStream Balcony Sola System adalah sistem solar untuk rumah yang menggunakan gabungan bateri mudah alih, penyongsang kompak-mikro dan palam pintar. Melaluinya, pengguna boleh menetapkan jumlah bekalan elektrik yang perlu digunakan mengikut perkakasan elektrik di rumah – memberikan penjimatan berkali ganda pada bayaran bil.

Ciri langganan yang sedang diuji ini dikatakan adalah untuk pengguna mendapatkan pengalaman penggunaan yang lebih canggih, selain adalah kos untuk EcoFlow menyelenggara ciri ini. Ujian ini membuatkan ramai pengguna EcoFlow risau jika fungsi dan ciri sedia ada pada produk mereka, kelak boleh dikunci di belakang langganan.

EcoFlow menjanjikan yang semua ini sekadar ujian dan tiada sebarang perancangan untuk mengunci ciri dan fungsi sedia ada di belakang langganan. Ciri langganan yang sedang diuji ini juga jika dilancarkan, hanyalah pilihan tambahan kepada pengguna.
[sumber] EcoFlow Official Club [/sumber]