Carian
Dell Menamatkan Polisi Bekerja Hibrid – Pekerja Diminta Kembali Ke Pejabat Sepenuh Masa
February 4, 2025 Nazrin

Dell merupakan salah sebuah syarikat teknologi yang telah melanjutkan polisi bekerja hibrid dari luar pejabat mereka walaupun selepas wabak COVID-19 berakhir. Dengan teknologi sedia ada, para pekerja mereka sebelum ini dilihat boleh bekerja dari mana sahaja tanpa perlu memasuki pejabat, mengurangkan waktu perjalanan dari rumah ke pejabat dan pulang.

Walaupun begitu, kini nampaknya Dell akan menarik balik polisi bekerja hibrid ini, dan melalui sebuah memo yang telah tertiris, nampaknya syarikat tersebut akan menghentikan polisi bekerja hibrid ini, dan akan mewajibkan untuk para pekerja mereka untuk kembali ke pejabat sepenuh masa.

Memo ini dikeluarkan oleh CEO Dell sendiri, Michael Dell dan mengatakan bahawa semua pekerja yang menggunakan pelan hibrid dan bekerja di luar pejabat akan perlu memasuki pejabat semula untuk setiap hari bekerja bermula 3 Mac 2025 ini. Memo ini dikeluarkan untuk pekerja global Dell dan tidak tertakluk kepada pekerja di Amerika Syarikat sahaja.

Diantara alasan yang diberikan nampaknya ialah satu perbincangan yang dilakukan secara berhadapan selama 30 saat adalah lebih cepat dan cekap berbanding dengan rantaian emel yang mungkin akan berlarutan sepanjang hari apabila bercakap tentang perkara yang sama.

Tiada apa yang dikatakan tentang perisian telesidang seperti Zoom atau Google Meet yang juga boleh digunakan untuk melakukan perbincangan sebegini.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah pekerja mereka dalam bahagian kejuruteraan, pengeluaran dan jualan sudahpun mula bekerja di pejabat sepenuh masa untuk seketika.

Walaupun begitu, Dell mengatakan bahawa pekerja yang duduk di luar lingkungan 1 jam untuk ke pejabat dikecualikan daripada arahan ini, dan boleh berbincang dengan pengurus mereka untuk meneruskan kerja hibrid dan di luar pejabat seperti biasa.

Komen