Siri Monitor Gaming Ultra-lebar Lenovo Legion Kini Di Pasaran Tempatan Dengan Harga Bermula RM1673
Nazrin
Lenovo telah memperlihatkan sejumlah produk di acara CES 2025 pada awal bulan Januari lalu, dan seperti yang sedia maklum, konsol Lenovo Legion S sudahpun di pasaran tempatan pada harga RM3299.
Terkini, Lenovo Malaysia memperkenalkan dua paparan skrin gaming baharu untuk pasaran tempatan, iaitu Lenovo Legion Pro 34WD-10 dan Lenovo Legion R34w-30. Kedua-dua paparan skrin ini hadir dengan rekaan ultra-lebar 21:9 tetapi dengan beberapa butiran berbeza.

Bermula dengan Lenovo Legion Pro 34WD-10, ia merupakan paparan skrin ultra-lebar bersaiz 34 inci yang menggunakan panel PureSight OLED dengan resolusi 3440×1440 dan kadar segar semula 240Hz. Ia mempunyai nilai lengkungan 800R dan mempunyai nilai kejituan warna Delta E<2.

Dari segi penawaran palam, paparan skrin ini dilengkapi dengan palam DisplayPort, USB Type-C yang juga merupakan palam DisplayPort 1.4, dua palam HDMI dimana salah satu daripadanya menyokong teknologi eArc, palam Ethernet terbina dan juga dua palam USB Type-A.
Sebagai sebuah paparan gaming ultra-lebar, model Legion Pro 34WD-10 ini hadir dengan ciri-ciri yang menarik, seperti kebolehan untuk menyempadankan paparan ini kepada tiga skrin dan suis KVM (keyboard, video, mouse).

Lenovo Legion R34w-30 pula hadir dengan saiz dan resolusi yang sama, tetapi menggunakan panel WLED dan mempunyai nilai lengkungan 1500R dan kadar segar semula 180Hz.

Dari segi penawaran palam, ia hadir dengan dua palam HDMI 2.1, satu palam DisplayPort 1.4 dan palam audio 3.5mm.
Seperti yang dikatakan, kedua-dua paparan ini sudahpun memasuki pasaran Malaysia, dan boleh dibeli melalui laman web Lenovo Malaysia. Untuk paparan Lenovo Legion Pro 34WD-10, ia dijual pada harga RM5179 dengan diskaun 15 peratus buat masa ini, manakala Lenovo Legion R34w-30 pula dijual pada harga RM1673.65