Sonos Dilaporkan Akan Melancarkan Kotak TV Android
Effi Saharudin
Tahun 2024 bukanlah tahun yang baik untuk Sonos kerana pelbagai isu yang wujud dalam aplikasi telefon pintar baharu mereka sehingga menyebabkan CEO syarikat meletakkan jawatan atas desakan lembaga pengarah. Tahun 2025 mungkin akan menjadi tahun Sonos menerjah masuk ke dalam kategori produk baharu pula dengan The Verge melaporkan mereka akan melancarkan kotak TV pertama.

Kotak TV dengan nana kod Pinewood sedang dibangunkan dengan ia menjadi kotak penstriman dengan sistem operasi Android. Sungguhpun begitu antaramuka yang digunakan adalah berbeza dengan Google TV bagi menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih menarik. Rekaannya kelak adalah berkotak dengan tirus di bahagian hadapan. Ini adalah hampir sama dengan Google TV Streamer yang dilancarkan tahun lalu.
Antara ciri yang disokong ialah hab mencari kandungan secara setempat untuk pelbagai aplikasi penstriman yang dipasang. Ini adalah mirip ciri yang ditawarkan oleh aplikasi JustWatch.
Ia juga akan hadir dengan alat kawalan jauh fizikal yang tidak ditawarkan pada produk audio mereka. Akhir sekali ia juga menyokong ciri Sonos Voice membolehkan kawalan menggunakan suara sepenuhnya. Apabila dilancarkan kelak, Pinewood akan dijual pada harga antara $200-$400 yang menjadikannya antara kotak TV paling mahal di pasaran.