AMD telah membuat pengumuman berkenaan sejumlah besar produk baru di acara CES 2025, dan salah satu daripada produk tersebut, iaitu AMD Radeon RX 9070 telah diperlihatkan secara ringkas di acara tersebut, tetapi tidak banyak butiran mengenainya diketahui setakat ini.

Sewaktu acara CES, ia diumumkan bahawa kad grafik ini akan dilancarkan pada suku pertama 2025, dengan kemungkinan besar bahawa acara khas mengenainya akan hadir pada bulan Mac 2025. Terkini, terdapat beberapa laporan yang mengatakan bahawa AMD akan menganjakkan acara pengumuman tersebut ke penghujung bulan Februari 2025.

AMD juga mengesahkan bahawa model kad grafik ini tidak akan menandingi kad-kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 5090 ataupun GeForce RTX 5080, sebaliknya akan melihat kepada pasaran kelas pertengahan premium seperti NVIDIA GeForce RTX 5070/RTX 5070 Ti.
Tidak seperti kad grafik AMD Radeon RX 7900 XTX sebelum ini, AMD nampaknya tidak melihat untuk mencabar takhta kad grafik paling berkuasa buat masa ini. Walaupun begitu, kad grafik ini dilihat masih lagi akan hadir dengan ciri-ciri olahan grafik terbaru seperti pemecut AI, pengolah grafik Ray-tracing generasi ketiga mereka dan teknologi olahan resolusi tinggi dan kadar bingkai terbaru AMD FSR 4.