Carian
ASUS ROG Phone 9 FE Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Gen 3
February 5, 2025 Effi Saharudin

ASUS ROG Phone 9 FE dilancarkan di Thailand dengan ia adalah peranti lebih mampu milik dan hanya dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 3. Pada model ROG Phone 9 sebelum ini, setiap peranti menggunakan cip Snapdragon 8 Elite yang lebih berkuasa.

Peranti hadir dengan skrin 6.78″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula sehingga 185Hz menggunakan tetapan Game Genie. Ia turut menyokong paparan kandungan HDR10+. Cip Snapdragon 8 Gen 3 dipadankan dengan memori 16GB LPPDR5X RAM, storan 256GB UFS 4.0 dan bateri sebesar 5500 mAh yang menyokong pengecasan 65W secara berwayar.

Kamera utama di belakang menggabungkan lensa sudut lebar 50MP dengan gimbal, lensa ultra lebar 13MP dan lensa makro 5MP. Di hadapan pula kamera swafoto 13MP digunakan. Ciri gaming butang bahu AirTrigger serta skrin AniMe Mini-LED dikekalkan pada panel belakang. Keseluruhan peranti melepasi piawaian kalis air serta debu IP68.

Di Thailand Asus ROG Phone 9 FE dijual pada harga THB 29,990 (~RM 3940) sebuah. Ini adalah sedikit lebih murah berbanding ASUS ROG Phone 9 (12+256GB) yang dijual di Malaysia pada harga RM3999 sebuah.

Komen