Carian
Google Disiasat Di China Sebagai Balasan Tarif Yang Dikenakan Amerika Syarikat
February 5, 2025 Effi Saharudin

China memulakan siasatan ke atas Google atas amalan perniagaan yang didakwa anti persaingan. Ini dilihat sebagai balasan kepada tindakan Amerika Syarikat mengenakan tambahan tarif 10% ke atas barangan yang diimport daripada China sejak semalam. Walaupun Google tidak mempunyai operasi besar di China, ia masih mempunyai hubungan perniagaan pengiklanan dengan syarikat tempatan.

Antara amalan perniagaan Google yang dijangka akan disiasat oleh Pentadbiran Negara untuk Peraturan Pasaran ialah keperluan menyertakan pelbagai aplikasi seperti Play Store, YouTube dan Google Maps pada peranti Android yang ingin menggunakan Google Mobile Services.

Selain Google, PVH Corp yang merupakan syarikat induk untuk jenama fesyen Calvin Klein dan Tommy Hilfiger serta syarikat bioteknologi Illumina juga turut disiasat oleh China. PVH Corp dituduh melakukan amalan diskriminasi serta merosakkan kepentingan syarikat-syarikat tempatan.

Tarif baharu diumumkan oleh Presiden Trump ke atas Kanada, Mexico dan China minggu lalu dengan ia berkuat kuasa pada hari Selasa kerana ketiga-tiga negara dituduh mengamalkan perdagangan secara tidak adil dengan Amerika Syarikat. Trump kemudian tidak meneruskan tarif ke atas Kanada dan Mexico selepas persetujuan saat akhir berjaya dicapai dan reaksi negatif daripada rakyat yang tidak mahu melihat harga barangan import melonjak naik.

Komen