Carian
Google Cloud Dan Kementerian Digital Umum Inisiatif ‘AI At Work 2.0’ Untuk Pegawai Awam
February 5, 2025 Amy Maizuraa

Kerajaan secara rasminya telah melancarkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada 12 Disember 2024. Ia turut menyaksikan pengenalan beberapa inisiatif penting yang termasuk AI at Work. Inisiatif itu adalah usaha sama antara Kementerian Digital dan Google Cloud untuk mengintegrasikan Gemini for Google Workspace ke dalam aliran kerja harian pegawai awam.

Ia kini memasuki fasa ke dua dengan tumpuan meningkatkan manfaat Gemini for Google Workspace kepada pegawai awam. Ini termasuklah integrasi teknologi AI generatif ke dalam aplikasi Google Workspace seperti Gmail, Docs, Sheets, Slides, Drive, Meet, dan Chat. Ia bagi membantu mereka berkerja dengan lebih bijak melalui fungsi automasi tugasan berulang, mengurangkan jumlah kemasukan data manual serta membantu mencipta kandungan yang menarik dengan cepat.

Dengan Gemini Advanced pula mereka dapat menggunakan model AI dalam usaha menyelesaikan tugasan yang paling kompleks seperti pengekodan dan menganalisis data. Selain turut boleh berkongsi idea baharu dan bantu menilai pendekatan yang berbeza.  Terdapat juga NotebookLM Plus yang berfungsi untuk meringkaskan pelbagai jenis kandungan seperti video, audio, dokumen dan laman web ke dalam nota yang mudah difahami.

Mereka boleh memuat naik pelbagai bentuk sumber sama ada dokumen, laman web atau kandungan multimedia, kemudian boleh bertanya soalan tentang maklumat dalam sumber tersebut. Jawapan diterima pula akan diberikan dalam bentuk petikan ringkas atau ringkasan podcast AI. Google Vids pula boleh bantu mereka mencipta video professional dengan cepat melalui bantuan AI tanpa memerlukan kepakaran suntingan video yang mendalam.

AI at Work 2.0 akan menyediakan latihan khusus untuk bantu pegawai-pegawai awam menggunakan Gemini for Google Workspace dengan berkesan. Ini termasuk bengkel praktikal untuk membantu pengguna menulis prompt yang bersesuaian dan mengenal pasti bagaimana peralatan ini boleh memberikan manfaat yang sepenuhnya. Sehingga 445,000 pegawai awam daripada pelbagai agensi kerajaan akan mempunyai akses sehingga 2028 melalui Google Workspace tanpa sebarang kos tambahan. Menurut Google, semua data kerajaan akan dirahsiakan dan sulit.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia juga boleh menjangkakan untuk melihat pendigitalan sektor awam secara sistematik, cekap dan bersepadu sepenuhnya antara 2026 hingga 2030. Pendekatan itu akan dilakukan melalui konsep GovTech yang memberi fokus kepada beberapa aspek termasuk perkhidmatan awam yang mudah diakses dan berpaksikan rakyat. Pada asasnya teknologi digital akan digunakan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra pengguna dan memenuhi keperluan semasa mereka.

Dasar ini mempunyai dua fasa yang mana fasa pertama akan dilancarkan pada tahun ini. Kemudian pelaksanaan penuhnya dijangka boleh dilihat diantara tahun 2026 hingga 2030. Kerajaan turut akan memastikan bahawa rakyat dapat log masuk ke satu platform, dan pada platform itu mereka boleh mengakses semua perkhidmatan Kerajaan dengan lancar. Garis panduan penggunaan AI untuk orang ramai turut akan diterbitkan dengan secara tentatif dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir Februari.

Untuk rekod, AI at Work merupakan program perintis Google yang diumumkan Disember 2024 dengan kerjasama Kementerian Digital. NAIO telah dipertanggungjawabkan untuk membentuk dasar AI dan menangani isu kawal selia sebagai sebahagian daripada objektif Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai hab serantau bagi teknologi tersebut.

Komen