Amazon Alexa ialah pembantu maya dengan jumlah pengguna kedua tertinggi di belakang Google Assistant. Dengan tumpuan kini semakin diberikan kepada integrasi kecerdasan buatan (AI), sudah tiba masanya Alexa juga diberikan penaiktarafan seperti Google Gemini. Semalam Amazon mula menghantar jemputan untuk acara berkaitan Alexa pada 26 Februari. Adalah dipercayai Alexa dengan ciri AI akan diumumkan pada acara tersebut.

Alexa dengan kemampuan AI ini dipercayai akan menggunakan model Claude yang dibangunkan oleh Anthropic. Menurut laporan, pada awalnya Amazon ingin menggunakan model AI sendiri tetapi dalam ujian ia tidak beroperasi pada tahap yang memuaskan. Alexa yang dipertingkatkan dengan AI sepatutnya dilancarkan penghujung tahun lalu tetapi ditangguh disebabkan isu di atas.
Sebagai salah satu syarikat teknologi terbesar dunia, Amazon perlu mengikut trend mengintegrasikan ciri AI pada produk mereka. Pada ketika ini hanya Amazon belum menawarkan pembantu maya yang lebih bijak seperti yang telah dilakukan oleh Google dan Apple.