Seperti biasa, setiap tahun Apple dilihat akan memperkenalkan komputer-komputer baru yang menggunakan cip pemprosesan Apple Silicon yang semakin berkuasa dan cekap. Untuk komputer-komputer mereka akan datang, Apple dijangka akan menggunakan cip pemprosesan Apple M5.
Terdapat beberapa laporan yang sudah dikeluarkan yang mengatakan bahawa TSMC sudahpun memulakan proses awal pengilangan cip pemprosesan Apple M5 ini, dan ia menggunakan proses binaan 3nm N3P yang telahpun mula beroperasi pada penghujung tahun lepas.

Proses ini merupakan penaiktarafan kepada proses N3E yang digunakan sebelum ini, dan membolehkan pelanggan TSMC untuk memilih samada mereka mahu meningkatkan prestasi SoC mereka sebanyak 4 peratus dengan penggunaan kuasa yang sama, ataupun mengekalkan prestasi yang sama dengan pengurangan penggunaan kuasa sebanyak 9 peratus.
Semua cip pemprosesan yang dilancarkan pada tahun ini dilaporkan juga akan menggunakan proses N3P ini, dimana ia mungkin bermakna bahawa cip pemprosesan M5 mungkin lebih cekap dalam penggunaan kuasa bateri dengan prestasi yang sama.
Ia dijangka bahawa Apple akan memperlihatkan model-model cip pemprosesan Apple M5, M5 Pro, M5 Max dan M5 Ultra pada tahun ini yang akan digunakan pada sejumlah besar produk-produk mereka seperti Apple MacBook, MacBook Air, MacBook Pro, iMac, Mac mini dan sebagainya.