Semalam kami telah melaporkan bahawa terdapat ura-ura bahawa AMD akan memperlihatkan butiran lanjut berkenaan kad grafik terbaru mereka, AMD Radeon RX 9070 pada penghujung bulan ini, dan pelancarannya akan tiba pada bulan Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su telah mengesahkan kesahihan tentang pelancaran kad grafik tersebut, mengatakan bahawa ia akan dilancarkan pada awal bulan Mac ini, bercakap mengenainya sewaktu acara pembentangan kewangan baru-baru ini.

Dua model kad grafik tersebut akan dilancarkan pada bulan depan, termasuklah AMD Radeon RX 9070 XT dan juga AMD Radeon RX 9070. Kedua-dua kad grafik ini akan menggunakan cip pemprosesan Navi 48, dimana model Radeon RX 9070 XT akan hadir dengan 4096 teras fizikal, manakala Radeon RX 9070 akan hadir dengan 3584 teras fizikal. Mereka juga akan menggunakan 16GB memori GDDR6 dan akan bersaing dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 yang dijangka akan dilancarkan sekitar tempoh yang sama.
Kad grafik ini akan hadir dengan ciri-ciri olahan grafik terbaru seperti pemecut AI, pengolah grafik Ray-tracing generasi ketiga mereka dan teknologi olahan resolusi tinggi dan kadar bingkai terbaru AMD FSR 4.
Dalam pada itu, Dr Lisa Su juga turut menjanjikan bahawa kad grafik ini adalah cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan-permainan komputer pada resolusi 4K dengan bantuan ciri-ciri yang dikatakan tadi.