Carian
Robot NVIDIA Boleh Mengajuk Pergerakan “Siuuu!” Cristiano Ronaldo
February 6, 2025 • Effi Saharudin

Sambutan gol Cristiano Ronaldo adalah cukup ikonik. Beliau akan melompat ke udara sebelum bertempik “siuu!” apabila kembali mendarat. Ianya cukup terkemuka sehingga menjadi ikutan peminat muda dan pemain bola sepak profesional lain yang menjadikan beliau sebagai idola. Kini robot juga mampu melakukan aksi “siuu!” dengan bantuan teknologi NVIDIA dan Carnegie Mellon University.

Kajian bersama Aligning Simulation and Real Physics (ASAP) yang dibangunkan kedua-dua pihak telah digunakan untuk melatih robot melakukan aksi sambutan gol Cristiano Ronaldo, lontaran bola Kobe Bryant dan pergerakan LeBron James apabila memasuki gelanggang.

Ini dilakukan dengan latihan dua tahap. Tahap pertama ialah ASAP mengajar robot di dalam dunia maya untuk mengikut pergerakan tiga atlet ternama ini menggunakan video. Selepas aksi berjaya dilakukan dalam dunia simulasi, robot kemudiannya diminta melakukan aksi yang sama di dunia sebenar di tahap kedua.

Penyelidik robotik telah lama menyedari pergerakan dalam dunia maya ketika tidak semestinya dapat dilakukan semula di dunia sebenar kerana perbezaan parameter fizik dan pergerakan tubuh di dunia sebenar. ASAP membolehkan robot belajar daripada kesilapan di dunia sebenar untuk menghasilkan pergerakan yang sama seperti di dalam dunia maya.

Dengan ASAP di masa depan robot boleh belajar sendiri untuk beroperasi di dunia sebenar tanpa menjalani proses latihan yang memakan masa. Ia dapat menyelesaikan masalah mobiliti dengan sendiri tanpa perlu campur tangan pengendali manusia.

Komen