Walaupun pengenalan kepada teknologi kecerdasan buatan generatif membantu ramai orang, ia ada kaveat. Misalnya, orang ramai tidak lagi menziarahi laman web kegemaran kerana AI telah menjana semua maklumat. Ini masalah yang digeruni ramai pemilik laman web, lagi-lagi apabila Google Search memperkenalkan AI Overviews. Terbaru, AI Overviews mula menjana perbandingan spesifikasi telefon pintar.

Jika perkara ini diteruskan, nampaknya kandungan perbandingan di Amanz harus diubah untuk menjadikannya lebih menarik. Dalam Google AI Overviews, apabila anda mencari perbandingan dua model peranti ia akan menjana jadual untuk mudah dibaca. Menariknya, Google terbuka memaparkan sumber mereka seperti PCMag, PhoneArena dan lain-lain.
Lebih mengelirukan, jadual ini sebenarnya tersembunyi. Ini kerana setiap carian perbandingan, AI Overview akan menjana teks ringkas terlebih dahulu. Hanya apabila pengguna tekan untuk membaca dengan lanjut, barulah jadual janaan AI ini akan dipaparkan. Ia turut berfungsi untuk membandingkan produk lain seperti basikal dan banyak lagi.

Dalam cubaan saya, ia masih tidak berfungsi. Tidak pasti jika ciri ini adalah bergantung kepada negara atau jenis peranti. Adakah anda akan bergantung sepenuhnya kepada perbandingan Google AI Overviews dan yakin ia tidak akan berhalusinasi? Kami galakkan anda terus ikuti Amanz maklumat menarik mengenai teknologi dalam Bahasa Melayu.