OnePlus 13 Mini Dikatakan Menggunakan Rekaan Palang Kamera Seperti Pixel
Fahim Zahar
OnePlus dan Oppo dijangka akan memperkenalkan peranti mercu bersaiz kompak, untuk bersaing dengan vivo X200 Mini. Peranti ini dikatakan akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite, menyokong ciri AI AndesGPT/OnePlus AI, dan dilengkapi dengan sistem dwi-kamera. Terbaru, butiran rekaan telah didedahkan.

OnePlus 13 Mini atau Oppo Find X8 Mini dikatakan akan menggunakan rekaan palang kamera di belakang seakan Google Pixel. Ini bermakna, OnePlus akhirnya akan mengubah rekaan kamera mereka selepas bertahun menggunakan rekaan bulat. Kamera dikatakan adalah 50+50 Megapixel seakan Nothing dengan sensor sudut lebar dan zum telefoto.
Walau bagaimanapun, masih tidak pasti jika sistem Hasselblad akan dikekalkan. Skrin peranti dikatakan adalah OLED LTPO bersaiz 6.31-inci, dijana cip Snapdragon 8 Elite, menggunakan rekaan skrin bezel nipis, dam tubuh dengan bahan binaan kaca dan besi. Peranti ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Mac bersama-sama dengan siri OnePlus 13T.
[sumber] Weibo – Digital Chat Station [/sumber]