Siri komputer riba Predator Helios Neo keluaran Acer dapat dilihat sebagai salah satu diantara komputer riba gaming paling berkuasa di pasaran dengan rekaan minimalis, dan terkini, Acer telah mengemaskini siri tersebut dengan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan NVIDIA.
Predator Helios Neo 16 AI dan Predator Helios Neo 18 AI kini dikemaskini dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200H, sehingga model CPU Intel Core Ultra 9 275HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti terbina didalamnya.

Predator Helios 16 AI hadir dengan pilihan paparan skrin termasuklah paparan OLED dan IPS dengan resolusi dari 1920×1200 dengan kadar segar semula 180Hz sehinggalah 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz.
Dari segi penawaran komponen dalaman lain. ia juga dilengkapi dengan memori DDR5 sehingga 64GB dan storan SSD PCIe4 sebesar 2TB. Dari segi kad grafik, seperti yang dikatakan, ia hadir dengan pilihan sehingga NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti.
Predator Helios 18 AI pula hadir dengan konfigurasi cip pemprosesan, memori, storan dan kad grafik yang sama, tetapi dari segi paparan, ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 18 inci, dengan pilihan panel IPS dan juga Mini LED dari resolusi 1920×1200 dengan kadar segar semula 165Hz sehinggalah 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz.
Dari segi pilihan palam, kedua-dua komputer riba ini dilihat mempunyai sokongan untuk palam Thunderbolt 4, USB 3.2 Gen2 Type-C, dan USB 3.2 Type-A. Ia juga hadir dengan palam HDMI 2.1, pembaca kad MicroSD dan palam audio 3.5mm.

Kedua-dua komputer riba ini juga dilengkapi dengan sambungan WiFi 6E dan menggunakan bateri 90Wh untuk penggunaan dengan bateri yang boleh bertahan untuk beberapa jam. Dari segi penyejukan pula, kedua-dua komputer riba ini menggunakan kipas penyejuk Aeroblade 3D generasi ke-6 untuk menyejukkan komponen-komponen CPU dan juga kad grafik dengan cekap.
Kedua-dua komputer riba Predator Helios 16 AI dan Predator Helios 18 AI ini akan tiba di beberapa pasaran terpilih terlebih dahulu pada bulan April (Helios 16 AI) dan Mei (Helios 18 AI) pada harga bermula 1699 Euro dan 1899 Euro. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah komputer-komputer riba ini akan memasuki pasaran tempatan.