Carian
Football Manager 25 Dibatalkan dan Tumpuan Diberikan Kepada Pelancaran FM 26
February 7, 2025 Effi Saharudin

Apakah permainan yang paling menyebabkan ketagihan di kalangan peminat bola sepak? Ada yang mengatakan ianya FIFA (kini EAFC) tetapi sebagai insan yang sudah agak berusia saya merasakan ia adalah siri Football Manager. Ia permainan simulasi menjadi pengurus bola sepak paling realistik menggunakan pelbagai data dunia sebenar. Bagi yang menantikan Football Manager 25, berita buruk ialah Sports Interactive telah membatalkan permainan ini.

FM25 sepatutnya dilancarkan pada bulan November tahun 2024 sebelum ditangguh ke Mac 2025. Pelbagai isu semasa permainan dibangunkan memaksa Sports Intractive melakukan penangguhan. Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah perubahan menggunakan enjin Unity dan pengenalan pasukan bola sepak wanita untuk pertama kali.

Sports Interactive merasakan pelbagai isu yang masih wujud membuatkan mereka terpaksa membatalkan FM25 kerana tidak mahu melancarkan permainan yang tidak memenuhi kualiti mereka dan juga peminat siri yang sudah dilancarkan setiap tahun sejak 2004.

Oleh itu tumpuan diberikan sepenuhnya kepada pembangunan Football Manager 26 yang akan dilancarkan pada November 2025. Wang akan dipulangkan semula kepada mereka yang telah melakukan tempahan awal permainan.

Komen