Elon Musk melalui sebuah temuramah baru-baru ini menyatakan tidak berminat dalam mendapatkan TikTok. Ini sekaligus menamatkan pelbagai spekulasi yang hadir kebelakangan ini, menyatakan Elon Musk antara yang ingin mendapatkan perkhidmatan sosial berkenaan selepas diarahkan untuk dijual oleh Amerika Syarikat.
Pihak TikTok sendiri tempoh hari telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan tiada sebarang perbincangan dengan Elon Musk berkaitan hal ini, namun beberapa media barat terus memainkan naratif berkenaan.
Melalui temuramah sama, Elon Musk turut menyatakan tiada sebarang perancangan sekiranya mengambil-alih perkhidmatan berkenaan. Pada masa yang sama, Elon Musk mengatakan tidak pernah menggunakan TikTok secara peribadi, dan tidak biasa dengan penawarannya.
Sebelum ini, beberapa penganalisa turut mengatakan China mungkin mengambil langkah untuk tidak membenarkan jualan TikTok, dan lebih bersedia melihat ianya berkubur di Amerika Syarikat. China sendiri sebelum ini telah menegur kerajaan Amerika Syarikat supaya segala proses sesuatu jual-beli perniagaan perlulah melalui pergerakkan pasaran, dan bukan disebabkan tekanan pihak kerajaan.