Tahun lalu Apple menyaman Andrew Aude yang pernah bertugas sebagai jurutera mereka kerana mendedahkan rahsia syarikat kepada wartawan The Information dan Wall Street Journal. Kes telahpun dibatalkan dan Aude mengemukakan permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun X beliau kepada Apple dan kakitangan kerana mendedahkan rahsia syarikat.

Menurut Aude kerjaya beliau sebagai pembangun telah terjejas teruk selepas aktiviti beliau dikesan Apple dan kemudiannya dipecat. Oleh itu beliau menyesal dan mengatakan perbuatan beliau adalah langsung tidak berbaloi.
Sebelum dipecat, Aude bertugas sebagai pembangun untuk iOS di Apple dan meniriskan maklumat selama beberapa tahun. Antara yang ditiriskan ialah ciri Journal, dan maklumat mengenai pembangunan Vision Pro. Ribuan mesej yang dihantar berjaya dikesan pada peranti milik Aude yang diberikan oleh Apple untuk kegunaan kerja.
Aktiviti beliau mula disedari pada Julai 2023 dan beliau diarahkan bertemu dengan pihak pengurusan. Ketika sesi tersebut, Aude cuba memadam bukti pada aplikasi Signal yang digunakan untuk menghubungi wartawan.