Apple hari ini memperkenalkan Powerbeats Pro 2 yang menyasarkan para atlet, dimana melaluinya ia membolehkan para atlet kekal berhubung dan menikmati kandungan audio ketika sedang bersenam atau melakukan aktiviti.

Powerbeats Pro 2 hadir dengan sokongan pembatalan hinggar aktif, serta dikuasakan dengan cip Apple H2. Pada masa yang sama, ia turut menyertakan sokongan Transparency Mode dan juga Spatial Audio. Menariknya mengenai fon telinga nirwayar ini adalah ia turut menyertakan sensor untuk menjejak kadar denyutan nadi, sekaligus memudahkan lagi para atlet menjejak dan memantaunya pra, ketika dan pasca aktiviti atau senaman.
Apple mengatakan mereka menyertakan sensor LED optikal yang memancar sekitar lebih 100 kali dalam masa sesaat untuk memastikan kelancaran darah.

Dari segi rekaan juga, Powerbeats Pro 2 ini dikatakan lebih selesa di telinga, selain 20% lebih ringan berbanding generasi sebelumnya. Setiap fon telinga menawarkan masa penggunaan selama 10 jam setiap cas penuh. Apple turut menyertakan pengecasan pantas dinamakan Fast Fuel yang membolehkan pengguna cas selama 5 minit dan gunakannya untuk selama 90 minit. Powerbeats Pro 2 turut menyertakan sokongan pengecasan nirwayar, selain turut kalis air dan peluh IPX4.
Bagi anda yang berminat mendapatkannya, boleh melakukan pembelian melalui Apple Store pada harga RM1049.