Pernahkah anda membuka akaun dengan emel A tetapi kemudian tidak lagi menggunakan akaun tersebut atas sebab-sebab tersendiri? Semua pembelian aplikasi terikat dengan akaun A dan pembelian baharu perlu dilakukan pada akaun B. Bermula hari ini, Apple akhirnya menyokong pemindahan semua kandungan daripada satu Apple Account (dahulunya Apple ID) ke Apple Account yang lain.

Pada ketika ini hanya pembelian media (muzik, ebuku, siri TV, dan filem) dan aplikasi sahaja boleh dipindahkan dari akaun lama ke akaun baharu. Selepas dipindahkan, akaun lama tidak lagi boleh digunakan untuk melakukan pembelian. Untuk menggunakan ciri ini, anda terlebih dahulu perlu mengemaskini peranti ke versi iOS 18.3.1 kerana ia adalah ciri yang baharu diberikan. Harus dinyatakan ciri ini tidak boleh digunakan di UK, EU dan India pada ketika ini.
Cara memindahkan pembelian dan media adalah seperti di bawah.
- Buka tetapan Settings di iPhone atau iPad.
- Tekan nama Apple Account.
- Tekan Media & Purchases.
- Tekan View Account.
- Cari pilihan Migrate Purchases.
- Semak maklumat untuk kedua-dua akaun yang ingin digunakan.
- Ikut arahan yang diberikan dalam peranti.
- Usai peroses notifikasi “Purchases Have Been Migrated” akan dipaparkan pada skrin. Emel juga akan dihantar ke dua-dua akaun untuk pengesahan.
- Semak Media & Purchases di Apple Account baharu.