Carian
Siri Komputer Riba Lenovo ThinkPad Aura Kini Di Pasaran Tempatan
February 12, 2025 Nazrin

Lenovo telah memperkenalkan siri computer riba Lenovo ThinkPad Aura dan Lenovo Yoga Aura yang dikuasakan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V di acara CES 2025 pada bulan lepas, dan kini, Lenovo Malaysia mengesahkan bahawa is telahpun tiba untuk pasaran tempatan.

Komputer-komputer riba ini termasuklah Lenovo ThinkPad X9 Aura Edition dan Lenovo ThinkPad X1 Carbon Aura Edition.

Bermula dengan Lenovo ThinkPad X9 Aura Edition, ia tampil dengan pilihan paparan OLED bersaiz 14 dan 15 inci dengan resolusi sehingga 2880×1880 dengan kadar segar semula 120Hz.

Ia dikuasakan pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 200V dan Intel Core Ultra 7 200V dengan memori LPDDR5X terbina sehingga 32GB bergantung kepada model yang dipilih. Ia juga tiba dengan storan SSD sebesar 1TB.

Dari segi pilihan palam, computer riba ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB Type-A dan satu palam HDMI.

Lenovo ThinkPad X9 Aura ini tampil dengan rekaan serba nipis dan ringan dengan ketebalan 13mm dan berat 1.2kg, menjadikannya sebuah komputer riba yang cukup mudah untuk dibawa kemana-mana.

Ia juga dilengkapi dengan bateri 55Wh yang cukup besar untuk menguasakan komputer riba ini sepanjang hari.

Menariknya, Lenovo ThinkPad X9 Aura juga merupakan ThinkPad pertama yang tidak menggunakan tetikus TrackPoint untuk sekian lamanya, ataupun titik merah yang secara lazimnya diperlihatkan di tengah-tengah papan kekunci.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon Aura Edition juga diperkenalkan, dengan rekaan klasik ThinkPad dikekalkan, tetapi dinaiktarafkan dengan penawaran-penawaran terkini.

Ia tampil dengan paparan skrin OLED 14 inci dengan resolusi 2.8K dan kadar segar semula 120Hz, dan juga dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V yang sama.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon Aura hadir dengan rekaan paling nipis dan ringan, dengan ketebalan 80mm dan berat 986g sahaja, menjadikannya komputer riba paling ringan yang dikeluarkan Lenovo setakat ini.

Lenovo Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua model komputer riba ini sudahpun memasuki pasaran Malaysia bermula hari ini di gedung atas talian Lenovo di Shopee dan Lazada dan juga kedai pengedar rasmi Lenovo Malaysia. Lenovo ThinkPad X9 Aura Edition hadir dengan harga permulaan RM9288, manakala Lenovo ThinkPad X1 Carbon Aura Edition hadir dengan tanda harga permulaan RM9676.

Komen