Carian
Boom XB-1 Ialah Pesawat Supersonik Pertama Terbang Tanpa Dentuman Sonik
February 12, 2025 Effi Saharudin

Penghujung Januari lalu, Boom Supersonic XB-1 menjadi pesawat buatan swasta pertama mencapai kelajuan supersonik. Ia mencecah 1,360 km/j di Gurun Mojave, Amerika Syarikat dengan ia akan menjadi asas kepada pesawat penumpang Boom Overture yang akan beroperasi menjelang 2029. Kini Boom mengesahkan XB-1 juga menjadi pesawat pertama memecahkan kelajuan bunyi tanpa menghasilkan dentuman sonik (sonic boom) yang boleh didengari.

Apabila terbang pada kelajuan supersonik di ketinggian 30,000 kaki (9144 m), dentuman sonik yang dihasilkan dipantulkan semua ke atas dan tidak akan didengari oleh orang ramai di permukaan bumi. Dentuman sonik adalah sebab mengapa Concorde dihalang terbang di kawasan berpenduduk. Ia bukan sahaja mengejutkan penduduk tetapi menyebabkan cermin pecah kerana meledak seperti bom.

Tanpa dentuman sonik, XB-1 dan Overture boleh beroperasi di lebih banyak ruang udara dengan selamat. Concorde gagal menggantikan pesawat jet komersial kerana ia dihalang terbang merentasi Amerika Syarikat dan juga ruang udara Malaysia semasa beroperasi dengan Singapore Airlines lebih 40 tahun lalu.

Selain Boom, NASA juga sedang membangunkan pesawat penumpang supersonik yang “senyap” di bawah projek QueSST. Pesawat eksperimen Lockheed X-59 akan terbang pada kelajuan Mach 1.4 (1,510 km/j) di ketinggian 55,000 kaki (16,800 meter) tetapi hanya menghasilkan bunyi sekitar 75 dB sahaja atau bersamaan perbualan lantang dan mesin pencuci pinggan. Seperti XB-1, X-59 juga akan melakukan penerbangan supersonik pertamanya tahun ini.

Komen