Google Play Store Akhirnya Memaparkan Butiran Manfaat Perkhidmatan Yang Dilanggan Pengguna
Fahim Zahar
Bulan Julai tahun lepas, Google mengacah paparan antaramuka baharu untuk Play Store yang akan memudahkan lagi pengguna memantau perkhidmatan langganan masing-masing. Kini selepas lebih setengah tahun, ia mula diedarkan kepada orang ramai.

Di Play Store, tekan gambar profil dan pilih Bayaran & Langganan (Payment & Subscriptions). Tekan Langganan dan anda akan melihat senarai langganan yang aktif dan yang telah tamat tempoh. Beberapa aplikasi dan perkhidmatan akan memaparkan manfaatkan langganan seperti Google One dengan storan yang diperluas, sokongan langsung daripada pakar dan banyak lagi. Sementara aplikasi pelancar seperti Niagara Launcher memaparkan butiran akses kepada pelbagai widget dan memberi sokongan kepada pembangun.

Dengan paparan langganan ini, secara tidak langsung ia memberi rasa kelegaan kepada pengguna untuk mengetahui sebab kenapa ia dilanggan dan akses tambahan yang dapat digunakan. Pada masa yang sama turut memberi kesedaran kepada pengguna untuk tahu apakah ciri yang benar-benar berguna dan patutkah ciri tersebut dibayar?
Dalam semakan saya, ia telah muncul untuk kesemua peranti Android yang saya gunakan. Perbezaan bahasa mungkin akan memaparkan maklumat berbeza atau terus tiada maklumat tambahan. Misalnya ChatGPT dalam bahasa Inggeris ada senarai ciri yang dapat digunakan ketika melanggan, tetapi dalam bahasa Melayu ia tidak disenaraikan.
[sumber] Android Authority [/sumber]