Meta kini dilaporkan dalam perbincangan untuk mengambil-alih sebuah syarikat rintis memfokuskan kepada pembangunan cip kecerdasan buatan, berpusat di Korea Selatan. Syarikat yang dikenali FuriosaAI telah ditubuhkan pada 2017 lepas, dan diterajui oleh bekas pekerja Samsung Electronics.
Kebelakangan ini, dengan kos melibatkan pembangunan kecerdasan buatan yang meningkat, pelbagai syarikat kini melihat untuk membangunkan cip AI tersendiri, sekaligus mengurangkan kos pembangunan mereka berbanding bergantung kepada pihak lain seperti NVIDIA dan lain-lain. Pembangunan cip tersendiri juga dijangka membolehkan mereka lebih mengoptimasikan model mereka.
Meta sendiri sedia melakukan pelaburan tinggi pada arena ini, melalui penawaran Meta AI. Fungsi tersebut telah dijanjikan akan ditawarkan untuk pengguna tempatan, tetapi masih belum diperkenalkan setakat ini.
Ia dilaporkan sekiranya semuanya berjalan lancar, Meta mungkin selesai mengambil-alih syarikat pembangunan cip AI di Korea Selatan ini seawal bulan Februari ini.