Di bawah keluarga BYD terdapat satu lagi jenama yang memfokuskan penawaran kereta elektrik mewah iaitu Denza. Menerusi Denza, model-model kereta elektrik yang lebih mewah telah mula membanjiri pasaran China dan hari ini Denza D9 diperkenalkan sebagai model pertama mereka yang akan dijual di Malaysia.

Denza D9 merupakan MPV Elektrik yang hadir dalam dua versi iaitu Advanced dan Premium yang dibezakan menerusi pacuan. Versi Advanced mempunyai motor elektrik pacuan hadapan mempunyai kuasa sebanyak 230 kW 308 hp dengan tork maksimum 360 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat. Versi Premium pula merupakan pacuan semua roda, dan dengan dua motor elektrik di bahagian hadapan dan belakang, ia mempunyai kuasa sebanyak 275 kW 369hp dengan tork maksimum 470 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Kedua-dua versi ini mempunyai saiz bateri yang sama iaitu 103.36 kWh namun memandangkan terdapat beza pacuan, versi Advanced mempunyai jarak perjalanan sejauh 600 KM NEDC / 520 KM WLTP manakala versi Premium mempunyai jarak perjalanan 580 KM NEDC / 480 KM WLTP. Ia juga dilengkapi dengan Swapandu Tahap 2 dan pelbagai kelengkapan ADAS. Kedua-duanya dilengkapi dengan pengecasan pantas DC 166 kW membolehkan pengecasan 30-80% dalam masa 30 minit dan pengecasan AC 11 kW.


Ruangan dalamannya pula jelas sekali menampilkan kemewahan. Tempat duduk barisan tengah terdapat paparan kawalan tempat duduk bagi menetapkan tempat duduk dan juga mengaktifkan fungsi urut, mengawal suhu, membuka dan menutup pintu dan juga cermin serta bermacam lagi. Terdapat juga pengecas nirwayar 50W untuk telefon pintar yang terletak dibahagian tepi pengguna dan juga bumbung lutcahaya, serta bumbung yang boleh dibuka untuk pemandu dan penumpang hadapan. Malah terdapat ruangan untuk anda menyimpan minuman sejuk atau panas, mengikut pilihan pengguna.




Versi Premium pula lebih mewah dimana tempat duduk mempunyai kemasan kulit Nappa, cermin pandang belakang yang menggunakan paparan LCD dan juga sistem suspensi berlainan.

Harga untuk kedua-dua model ini akan diumumkan sewaktu pelancaran rasmi minggu hadapan dan dijangka akan ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari Zeekr 009. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut minggu hadapan.
