Carian
Google Akan Menggunakan Pembelajaran Mesin Untuk Mengagak Usia Pengguna
February 13, 2025 Nazrin

Google baru-baru ini telah membuat pengumuman bahawa mereka akan mula menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk mengagak usia pengguna-pengguna platform mereka. Ini adalah sebahagian daripada percubaan Google untuk menawarkan kandungan yang lebih bersesuaian dengan umur para pengguna perkhidmatan-perkhidmatan atas-talian mereka seperti YouTube dan Search.

Fungsi ini akan diperkenalkan untuk para pengguna Google di Amerika Syarikat terlebih dahulu dan dilihat akan membantu dalam memberikan kandungan yang lebih selamat khususnya untuk individu-individu berumur 18 tahun dan kebawah.

Ini termasuklah penggunaan ciri carian selamat SafeSearch yang akan diaktifkan secara automatik dan melalui penggunaan carian menggunakan teknologi AI Google seperti AI Overviews, Gemini dan Circle To Search.

Dalam pada itu, Google juga telah mengemaskini Google Family Link, sebuah fungsi dalam Google yang membolehkan ibu-bapa untuk mengawal tetapan akaun Google anak-anak mereka. Ciri School Time telah dikemaskini dengan kemaskini terbaru ini, dimana ia kini boleh digunakan pada peranti pintar dan tablet anak-anak untuk mengurangkan “gangguan” khususnya daripada aplikasi-aplikasi hiburan dan sebagainya. Sebelum ini School Time hanya ditawarkan pada jam pintar FitBit Ace dan Samsung Galaxy Watch For Kids.

Komen