Google Mengemaskini Gemini Live Dengan Model Baharu Yang Memahami Banyak Bahasa
Fahim Zahar
Gemini 2.0 adalah model bahasa raya kecerdasan buatan generatif Google baharu yang paling berkuasa. Ia adalah jenis multi-model yang boleh menjadi ejen AI untuk menggunakan peranti untuk pengguna atau melakukan tugas untuk pengguna. Ia turut boleh menggunakan kamera peranti untuk menjadi mata dan melihat persekitaran. Terbaru, dalam emel yang dikongsi kepada pengguna – Gemini Live pula akan dikemaskini.

Gemini Live adalah chatbot AI suara yang membolehkan pengguna berkomunikasi seakan berbual dengan manusia. Kemas kini baharu ini menjadikan ia boleh memahami lebih banyak bahasa, loghat, dialek dan juga membantu pengguna melakukan penterjemahan secara langsung. Google tidak menyatakan model mana, tetapi memandangkan ia adalah yang terkini ia mungkin Gemini 2.0.
Pada masa yang sama, Google turut mengingatkan pengguna yang kelak sokongan kongsi kandungan skrin ke Gemini Live dan berinteraksi seakan panggilan video yang sedia ada pada ChatGPT turut akan disokong pada aplikasi Gemini.