Pelbagai teknologi AI generatif telah dibangunkan dalam 3-4 tahun yang lepas, dan ia dilihat sangat popular kerana ia membolehkan sesiapa sahaja untuk mencipta kandungan kreatif dengan cepat tanpa perlu meluangkan masa untuk mempelajari asas disebalik kebolehan kreatif tersebut.
Terkini, Microsoft dan sekumpulan penyelidik dari Carnegie-Mellon University telah mengeluarkan sebuah laporan penyelidikan yang mengkaji kaitan diantara penggunaan teknologi AI generatif dan juga perkembangan kognitif dan keupayaan pemikiran aras tinggi.
Penyelidikan tersebut mengkaji 319 individu yang menggunakan teknologi AI generatif sekurang-kurangnya sekali setiap minggu, dan telah diminta memberi contoh teknologi AI generatif yang digunakan dalam tugasan mereka.

Penggunaan ini dipisahkan dalam tiga kategori, termasuklah penciptaan kandungan (menulis emel), maklumat (mencari maklumat, penyelidikan) dan nasihat (membangunkan carta dengan data yang disediakan). Mereka juga ditanya samada mereka menyemak output yang dikeluarkan oleh teknologi-teknologi ini sebelum menghantarnya keluar ataupun digunakan untuk pembentangan.
36 peratus daripada mereka mengatakan bahawa mereka akan menyemak sebarang output yang dikeluarkan oleh perkhidmatan-perkhidmatan AI generatif yang digunakan untuk memastikan bahawa tiada kesilapan atau data palsu digunakan dalam laporan ataupun pembentangan mereka.
Untuk penulisann emel, ada diantara mereka yang mengatakan bahawa semakan hantaran adalah sesuatu yang perlu kerana kadang-kala terdapat isu dimana syarikat mempunyai sistem hierarki mereka sendiri yang mementingkan seniority apabila berkomunikasi secara rasmi. AI masih lagi tidak boleh memahami budaya syarikat yang berbeza.
Walaupun begitu, terdapat ramai juga daripada responden yang mengatakan bahawa mereka sangat yakin dengan kemampuan teknologi kecerdasan buatan, dan hanya membuat semakan sekilas pandang sebelum menggunakan maklumat yang dikeluarkan.
Para penyelidik berkata bahawa walaupun ada individu yang akan menyemak dahulu output kerja yang dikeluarkan AI, secara puratanya, ramai yang akan mengambil output tersebut dan gunakannya sahaja secara sedia ada. Jika dibiarkan, terdapat kebarangkalian besar bahawa kemampuan kognitif pengguna akan terus menurun kerana kebergantungan membuta-tuli kepada teknologi kecerdasan buatan.
Laporan Microsoft dan Carnegie Mellon ini tidak mengatakan bahawa pengguna AI generatif akan menjadi semakin bodoh apabila menggunakannya, tetapi kebergantungan jangka lama terhadap teknologi AI generatif ini akan menyebabkan kesukaran untuk menyelesaikan masalah secara kritis dan kendiri.