Carian
Nissan Dan Honda Batalkan Penggabungan Syarikat
February 13, 2025 Amy Maizuraa

‘Pergolakan’ yang dialami oleh Nissan dan Honda akhirnya menemui kata putus apabila mereka sepakat untuk membatalkan rancangan penggabungan syarikat. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Nissan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan MOU yang ditandatangani pada 23 Disember tahun lalu untuk pertimbangan penggabungan perniagaan antara Syarikat.

Mengulas lanjut, pelbagai pilihan telah dipertimbangkan mengenai struktur penggabungan perniagaan sepanjang perbincangan kedua-dua syarikat itu berlangsung. Ia termasuklah mengambil kira kepentingan penggabungan perniagaan kedua-dua syarikat dengan pelbagai pihak berkepentingan lain.

Pada mulanya, kedua-dua mereka merancang untuk bergabung di bawah syarikat induk baharu sambil mengekalkan jenama masing-masing. Bagaimanapun, Honda kemudian mengubah struktur berkenaan untuk menjadi syarikat induk dan Nissan pula sebagai anak syarikat melalui pertukaran saham. Perkara itu ditentang oleh Nissan sendiri atas sebab kebimbangan bahawa autonominya boleh dicabar.

Pada akhirnya kedua-dua belah pihak mengambil keputusan untuk menghentikan perbincangan dan menamatkan MOU. Keputusan membatalkan rundingan ini dilihat menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh pembuat kereta dalam bekerjasama untuk menangani teknologi baharu. Namun begitu mereka akan terus bekerjasama dalam rangka perkongsian strategik untuk kenderaan elektrik bagi memaksimumkan nilai korporat masing-masing.

Komen