Pembesar Suara Creative Pebble Nova Kini Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM1289
Nazrin
Creative ialah sebuah jenama audio dari Singapura yang sangat popular di seantero dunia, dan untuk lebih 40 tahun, syarikat tersebut telah membangunkan teknologi audio yang termasuklah pembesar suara, kad bunyi, amplifier dan sebagainya untuk memperbaiki mutu audio pengguna, khususnya untuk penggemar.

Terkini, Sun Cycle, pengedar rasmi produk Creative telah mengumumkan bahawa pembesar suara terbaru mereka, Creative Pebble Nova kini sudah ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM1289. Sistem pembesar suara ini merupakan pembesar suara 2.0 yang hadir dengan dua unit satelit dengan dua pemandu audio terbina, satu pemandu tweeter satu inci dan satu pemandu woofer bersaiz tiga inci.

Pembesar suara ini, yang hadir dalam rekabentuk sfera direka dengan sudut 45 darjah menghala keatas untuk pemancaran audio yang lebih jelas. Pebble Nova juga merupakan pembesar suara paling berkuasa Creative setakat ini. Tidak seperti pembesar suara Pebble yang lain, Pebble Nova tidak boleh disambungkan ke komputer secara terus.

Disertakan bersama-sama pembesar suara ini ialah penyesuai pengecasan PD 65W dan dua kabel USB Type-C yang perlu disambungkan kepada pembesar suara dan pengecas. Kabel audio 3.5mm juga disertakan untuk disambungkan ke komputer, tetapi jika anda tidak mahu menggunakannya, Pebble Nova juga menyokong sambungan nirwayar Bluetooth untuk mengurangkan selirat kabel di meja anda.

Anda boleh memuat-turun aplikasi Creative App untuk mengubahsuai tetapan-tetapan lain seperti pencahayaan RGB, kualiti audio dan juga kedudukan satelit. Melalui aplikasi ini, anda boleh menetapkan mana-mana satelit sebagai kiri atau kanan dengan mudah.
Anda boleh membeli pembesar suara ini di laman web Creative Malaysia ataupun melalui gedung atas talian Shopee mereka.