Terdapat peranti dengan skrin boleh lipat baharu akan tiba dan apa namanya? Oppo Find N5! Peranti ini bukan sahaja boleh dilipat tetapi juga mempunyai peningkatan yang sukar untuk diabaikan. Oppo juga masih mengukuhkan kerjasama dengan Hasselblad dalam mencipta pengalaman fotografi mudah alih yang lebih baik.

Saya sudah melihat tiga generasi peranti skrin boleh lipat oleh Oppo dan pelbagai peningkatan ciri dan fungsi berterusan diberikan bagi meningkatkan kualiti dari semasa ke semasa. Terkini saya diberi peluang sekali lagi untuk merasai pengalaman singkat bersama Oppo Find N5 sebelum pelancaran rasminya pada 20 Februari 2025.



Walaupun tiada spesifikasi yang boleh dikongsi buat masa ini tetapi saya boleh fokus kepada aspek penting lain yang menjadikan Find N5 sebuah peranti yang menarik. Pada pandangan pertama, Oppo Find N5 mungkin kelihatan seperti model-model terdahulu kerana ia mengekalkan reka bentuk lipat yang serupa. Tetapi Oppo sebenarnya telah melakukan penambahbaikan yang signifikan pada Find N5 ini.


Contohnya seperti Find N5 mempunyai binaan yang lebih nipis dengan ketebalan hanya 8.9mm apabila dilipat menjadikannya lebih selesa untuk digunakan. Sebagai perbandingan, Find N3 mempunyai ketebalan yang berbeza apabila dilipat. Seingat saya, Find N3 mempunyai ketebalan sekitar 12.3mm dalam keadaan dilipat.
Di sinilah menunjukkan bahawa Oppo telah membuat peningkatan yang signifikan dalam reka bentuk Find N5 menjadikannya lebih nipis dan selesa untuk digunakan. Binaan juga masih rata seperti Find N3, dengan tepi yang dibulatkan.


Sejujurnya saya tidak mempunyai masalah dengan ciri-ciri yang disebutkan tadi kerana ia sememangnya memberikan keselesaan yang baik. Memegang Find N5 juga terasa teguh di tangan yang menjadi satu lagi kelebihan buat rekaan peranti ini. Walaupun dengan binaan yang lebih nipis, Oppo masih mengekalkan rasa kukuh pada peranti ini. Rasa kukuh ini pastinya memberikan lebih keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan peranti ini setiap hari.

Bagaimanapun, pandangan ini adalah pandangan saya sendiri dan tentunya mungkin berbeza dengan pandangan orang lain. Sebabnya, setiap orang mempunyai pandangan dan keutamaan masing-masing dalam menilai sesuatu peranti. Jadi, kalau anda ingin tahu apa pula kata ketua editor saya iaitu Effi Saharudin, nantikan ulasan beliau dalam artikel yang akan datang. Saya pasti pandangan beliau akan memberikan perspektif yang berbeza dan menarik memandangkan Effi sendiri pernah menguji peranti Find N2 dan Find N3 sebelum ini.



Menyentuh mengenai jenis kemasan, pengalaman saya memegang Find N5 terasa seperti matte atau dalam Bahasa Melayu, kita memanggilnya pusam. Ia memberikan rasa bertekstur kasar yang bila dipegang, memang rasa selesa dan boleh dicengkam dengan baik. Dengan tekstur matte ini, ia diyakini boleh mengurangkan kesan cap jari lalu menjadikannya lebih praktikal untuk digunakan setiap hari.


Dalam sesi singkat bersama media, sebanyak dua pilihan warna Find N5 yang diperlihatkan ialah hitam dan putih. Kedua-dua warna ini memberikan pilihan yang klasik dan saya lebih menyukai warna putih. Tidak pasti mengapa, tetapi ia menampilkan rasa lebih premium dengan motif seakan-akan batu marmar.
Warna putih yang digunakan juga memberi penampilan yang mewah membuatkan Find N5 ini lebih menarik. Namun, tidak bermakna warna hitam tidak menarik. Warna hitam juga memberikan penampilan yang anggun dengan rasa premium yang tersendiri. Bagi pengguna yang menyukai penampilan yang nampak lebih minimalis, warna hitam ini pastinya pilihan yang sesuai.


Apabila membuka skrin Find N5, saya perasan paparan dalaman hampir tidak menampakkan lipatan. Saya masih boleh merasakan lekuk di bahagian tengah skrin dengan meletakkan jari dan menyedarinya apabila melihat skrin dengan teliti. Namun dari segi penggunaan biasa lipatan tersebut hampir tidak kelihatan. Kalau diperhatikan, bonggol kamera pada Find N5 juga lebih nipis berbanding model sebelumnya. Susunan kamera diubah untuk memberikan penampilan yang lebih kemas.

Selain itu, Find N5 mengekalkan tiga kamera di belakang bersama logo Hasselblad yang dipamerkan secara jelas pada modul kamera. Ini menunjukkan kerjasama Oppo dengan jenama terkenal itu masih diteruskan dalam rangkaian baharu ini. Bermakna pengguna boleh menikmati pelbagai kelebihan teknologi dan profil warna Hasselblad dalam proses mengambil gambar menggunakan kamera peranti.

Pada bahagian sisi, masih terdapat butang kuasa yang juga diintegrasikan dengan pengimbas cap jari sisi. Pada bahagian yang sama, terdapat juga butang laras audio. Selain itu, butang Alider Alert turut disertakan pada bahagian kiri yang memberikan kemudahan tambahan untuk mengawal peranti dengan lebih mudah. Sama ada untuk membisukan peranti, menukar mod dering, atau fungsi lain boleh dibuat melaluinya tanpa perlu melalui menu tetapan.


Butang lungsur ini juga sebenarnya sudah sedia ditawarkan pada Find N3 menunjukkan konsistensi dalam reka bentuk yang praktikal. Oppo turut mereka semula port USB-C pada Find N5 untuk menjadikannya lebih nipis dan kemas. Selain itu, pembesar suara dan slot SIM turut melengkapkan bahagian b awah peranti bersama port USB-C tadi.
Pada pandangan pertama, Find N5 memang kelihatan menonjol dengan reka bentuknya yang elegan. Skrin boleh lipat yang besar memberikan semestinya mampu memberikan pengalaman visual yang baik. Reka bentuk yang nipis pula membuatkan peranti ini mudah digunakan. Find N5 akan dilancarkan pada 20 Februari 2025, serta Malaysia juga akan menyambut kehadirannya untuk membuka peluang kepada pengguna melihat teknologi terkini yang ditawarkan oleh Oppo.