ByteDance sedia melakukan sejumlah pelaburan dan kajian dalam pembangunan model-model kecerdasan buatan. Terbaru, ByteDance bersama sejumlah pengkaji memperkenalkan model janaan video tersendiri, dinamakan sebagai “Goku”.

“Goku” diperkenalkan dalam bentuk sumber terbuka, membolehkan pelbagai pengkaji dan pembangun turut menyemak penawarannya. Ia dikatakan model ini berasaskan kepada Transformer yang alirannya diperhalusi, sekaligus menambah-baik hubungan dan interaksi antara token gambar dan video. Ini sekaligus membolehkan penghasilan visual berkualiti-tinggi.
Goku dilihat menyokong beberapa sokongan janaan, termasuk teks ke video, imej ke video, dan teks ke imej.
ByteDance melalui halaman berkenaan Goku juga turut menyatakan ia boleh digunakan untuk janaan video iklan – sekaligus mengurangkan kos penghasilan secara mendadak. Video yang dihasilkan juga dilihat lebih realistik berbanding pelbagai penawaran lain di pasaran.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak kertas kajian dan kodnya melalui laman rasmi Goku hari ini.