Tablet melukis Wacom Intuos Pro akhirnya dikemaskini selepas kali terakhir dilakukan pada tahun 2017. Rekaan diberikan nafas baharu dengan butang kawalan fizikal kini diletakkan di bahagian atas dan juga dilengkapi sehingga dua roda berputar berbanding satu sahaja sebelum ini.

Tiga saiz Wacom Intuos Pro dilancarkan iaitu Intuos Pro Small (8.5 x 6.4 inci), Intuos Pro Medium (11.5 x 8.1 inci) dan Intuos Pro Large (14.8 x 10 inci) dengan nisbah 16:9. Perbezaan antara model ialah Pro Small hadir dengan 1 butang berputar dan 5 butang ExpressKeys. Pada Pro Medium dan Pro Large pula hadir dengan 2 butang berputar dan 10 butang ExpressKeys.

Stylus Wacom Pro Pen 3 disertakan sekali dengan ia sebelum ini digunakan pada siri Cintiq. Ia menyokong 8192 tahap tekanan, sendeng sehingga 60 darjah dan seperti semua stylus Wacom tidak memerlukan bateri untuk berfungsi. Bahagian tablet boleh berfungsi menerusi sambungan USB-C atau tambatan bluetooth. Dengan sekali caj, ia boleh beroperasi secara nirwayar selama 16 jam sebelum perlu dicas semula.
Harga jualan adalah seperti di bawah.
- Intuos Pro Small – RM 1290
- Intuos Pro Medium – RM 1990
- Intuos Pro Large – RM 2690