Carian
Fon Telinga Creative Aurvana Ace Mimi Turut Tiba Pada Harga RM589
February 14, 2025 Nazrin

Disamping ketibaan pembesar suara Creative Pebble Nova, syarikat audio Singapura tersebut juga telah mengumumkan ketibaan fon telinga TWS terbaru mereka, iaitu Creative Aurvana Ace Mimi untuk pasaran Malaysia.

Ini merupakan fon telinga terbaru mereka yang sekali lagi menggunakan sistem dwi pemandu audio yang menggabungkan pemandu solid state xMEM dan pemandu audio dinamik untuk pemancaran nota rendah dan tinggi yang tidak membingit telinga, disamping memastikan kualiti bass mempunyai degupan yang kuat.

Diantara keunikan lain yang hadir dengan fon telinga ini ialah ia boleh disuaikan kepada tahap pendengaran anda secara khusus. Aplikasi Creative App yang boleh dimuat turun mempunyai ciri Sound Personalization yang akan menanyakan anda soalan seperti tahun anda dilahirkan, jenis audio yang anda sering dengari (muzik, video dan sebagainya) untuk bukan sahaja memastikan kualiti audio adalah yang terbaik, tetapi juga memastikan telinga anda tidak terdedah kepada kelantangan audio yang boleh merosakkan pendengaran.

Jika anda seorang audiofil, fon telinga ini juga hadir dengan sokongan untuk codec LDAC untuk kualiti penstriman audio seakan mendengar audio dari CD, dan juga Super XFI Spatial Holography Audio sekiranya anda mempunyai fail-fail audio kelas lossless ataupun audio master file yang disimpan untuk sesi pendengaran sendiri.

Seperti banyak fon telinga premium di pasaran sekarang, fon telinga Creative Aurvana Ace Mimi ini juga hadir dengan ciri Active Noise Cancelling terbina. Dalam pada itu, ia hadir dengan jangka hayat bateri 28 jam apabila digabungkan dengan rangka pengecasan fon telinga.

Fon telinga TWS Creative Aurvana Ace Mimi ini sudah mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM589 melalui laman web Creative Malaysia ataupun gedung atas talian mereka di Shopee.

Komen