Toshiba Z670N Edisi Monster Hunter Wilds Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia
Fahim Zahar
Toshiba Z670N adalah televisyen mercu gaming generasi baharu yang diperkenalkan pada hujung tahun 2024. Model televisyen ini kini di Malaysia. Lebih menarik, model ini hanya menawarkan saiz 100-inci dan untuk tahun 2025 mereka menawarkan edisi Monster Hunter Wilds.

Monster Hunter Wilds adalah permainan video baharu Capcom untuk konsol dan PC yang akan tiba pada 28 Februari nanti. Ia adalah permainan seperti judulnya, memburu pelbagai jenis raksasa tetapi pada masa yang sama boleh menggunakan sebahagian raksasa yang ditewaskan untuk menjadikan perisai bagi bertempur dengan raksasa lain. Melaluinya mod khas permainan ini akan diintegrasikan ke dalam Toshiba Z670N.

Televisyen ini menggunakan panel skrin Direct LED jenis Quantum Dot bersaiz 100-inci. Ia menyokong resolusi sehingga Ultra HD 4K (3,840 x 2,160) dan dijana oleh cip baharu Toshiba tersendiri REGZA ENGINE ZRi. Televisyen ini turut menyokong paparan Dolby Vision, HDR10+, Colour Re-Master Pro dan kadar segar semula 144Hz adaptif ALLM.
Toshiba Z670N juga adalah sebuah televisyen khusus untuk gaming dengan beberapa mod seperti Game Mode Pro untuk menetapkan profil terbaik seperti mod Monster Hunter Wilds. Selain itu Game Deck turut diberikan untuk pengguna mengakses tetapan gaming lain secara lebih efisien dan pantas.

Toshiba tidak lupa akan pelbagai mod paparan lain untuk menonton filem, berita, sukan dan lain-lain seperti dan Filmmaker Mode. Untuk audio pula, selain Dolby Atmos – televisyen ini menggunakan piawaian tersendiri REGZA Power Audio Pro. Ia menyokong audio imersif 360 darjah, menyokong REGZA Bass Woofer melalui pemandu audio 61W.

Untuk memenuhkan permintaan para pemain permainan video, televisyen ini turut menyediakan banyak port sambungan seperti 2x USB-A (USB 3.0 dan USB 2.0), 4x HDMI (2x HDMI 2.1 dan 2x HDMI 2.1), Bluetooth 5.0, WiFi dwi-jalur, AirPlay dan menjalankan VIDAA U7. Sedikit mengecewakan yang model ini tidak menjalankan Google TV seperti televisyen Toshiba lain.

Harga jualan di Malaysia adalah RM24,999 yang Toshiba dakwa adalah antara yang mampu milik untuk saiz 100-inci. Sepanjang tahun ini, mereka yang membeli televisyen ini turut akan menerima baucar Shopee RM500 dan selagi stok masih ada – Nintendo Switch OLED turut akan diberikan secara percuma.

Memandangkan Monster Hunter Wilds akan dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari nanti, ini mungkin masa terbaik untuk mendapatkan televisyen dengan kerjasama rasmi bersama pembangun permainan.