Carian
Ulasan Samsung 990 EVO Plus – SSD Untuk Gaming Pilihan
February 17, 2025 • Effi Saharudin

Storan yang pantas dan besar kini menjadi keperluan kerana saiz fail yang semakin besar dan lambakan media yang perlu disimpan. Memang tidak dinafikan terdapat banyak storan awanan yang boleh digunakan tetapi simpanan peribadi secara fizikal ialah pilihan yang lebih selamat. Samsung telah melancarkan storan SSD 990 EVO Plus di Malaysia pada November tahun lalu dan pada hemat kami ia bukan sahaja menawarkan storan yang besar tetapi lebih penting lagi ialah ianya pantas.

Spesifikasi

NamaSamsung SSD 990 EVO Plus
AntaramukaPCIe Gen 4.0 x4 / 5.0 x2 NVMe 2.0
Faktor RekaanM.2 (2280)
Memori StoranSamsung V-NAND 3-bit TLC
PengawalSamsung
Saiz1TB2TB4TB
Kelajuan Membaca/Menulis7,150 MB/s
6,300 MB/s
7,250 MB/s
6,300 MB/s
7,250 MB/s
6,300 MB/s
Perisian KawalanSamsung Magician Software
Penyulitan DataAES 256-bit Full Disk Encryption, TCG/Opal V2.0,
Encrypted Drive (IEEE1667)
Jumlah Bytes Yang Boleh Ditulis 600TB1200TB2400TB
Harga1TB: RM519
2TB: RM879
4TB: RM1599

Jaminan 5 Tahun

Ulasan dilakukan dari perspektif pengguna konsol PlayStation 5. Ini adalah kerana isu saya dengan konsol yang dibeli lima tahun lalu mempunyai storan yang terlalu kecil sedangkan permainan video kini mempunyai saiz yang semakin besar. Pemasangan permainan yang melebihi 100GB kini sudah menjadi norma baharu. Keperluan memadam permainan lama terlebih dahulu sebelum permainan baharu dipasang adalah benda yang sepatutnya tidak berlaku jika storan lebih besar ditawarkan oleh pengeluar.

Samsung 990 EVO Plus ialah versi kemas kini untuk 990 EVO yang dilancarkan awal tahun lalu. Ia menyokong empat lorong PCIe Gen 4.0 atau dua lorong PCIe Gen 5.0. Dengan rekaan M.2 (2280), SSD ini serasi dipasang bukan sahaja pada PlayStation 5 tetapi juga pada PC dan kerangka storan SSD mudah alih yang banyak di pasaran.

Proses pemasangan SSD ke PS5 adalah semudah membuka beberapa skru sahaja. Yang menjadi isu hanyalah 990 EVO Plus tidak hadir dengan sinki haba terbina. Ini berbeza dengan penawaran WD Black SN850P. Tetapi saya mendapati harga jualan sinki haba di pasaran untuk PS5 adalah mampu milik dan apabila harga digabungkan masih lagi menjadikan 990 EVO Plus lebih murah. Jika anda ingin jimat beberapa puluh ringgit, 990 EVO Plus ialah pilihan yang baik.

Pasca pemasangan saya mendapati proses melakukan format buat pertama kali juga pantas. Selepas dikesan oleh PS5, proses pemindahan terus boleh dilakukan tanpa konsol dimulakan semula. Saya memindahkan semua storan dari PS5 ke 990 EVO Plus sebesar beberapa ratus GB dalam masa beberapa minit sahaja.

Menerusi sistem ujian terbina PS5, 990 EVO Plus boleh melakukan kelajuan membaca sehingga 6079 MB/s yang walaupun lebih rendah berbanding kelajuan 7250 MB/s yang diiklankan oleh Samsung. Kelajuan menulis pula adalah sehingga 6,300 MB/s dengan prestasi dunia sebenar pula ialah sekitar 5,700MB/s.

Sungguhpun begitu ini masih lagi cukup pantas untuk digunakan pada PlayStation5 dan PlayStation 5 Pro yang memerlukan sekurang-kurangnya kelajuan membaca 5500 MB/s. Ia adalah keperluan permainan seperti Ratchet & Clank : Rift Apart dan Spider-Man 2 yang mempunyai ciri melompat pantas ke mana-mana lokasi di dalam peta tanpa melakukan proses loading yang ketara.

Sepanjang tempoh ulasan saya memindahkan dan memasang kesemua permainan ke dalam 990 EVO Plus dengan storan terbina PS5 digunakan sekarang untuk sistem operasi serta aplikasi. Tiada perbezaan dari segi prestasi apabila Ratchet & Clank : Rift Apart dan Spider-Man 2 dipasang pada dua storan berbeza ini.

Yang disedari hanyalah semakin banyak permainan boleh dipasang pada konsol tanpa perlu dipadam terlebih dahulu. Storan terbina PS5 (Gen 1) yang saya miliki hanyalah 667GB sahaja. Saya hanya boleh bermimpi memasang Grand Theft Auto V, Call of Duty Black Ops 6, Black Myth Wukong, The Witcher 3, Hitman World of Assasinations dan The Last of Us : Part 1 secara serentak sebelum ini.

Kesimpulan

Samsung 990 EVO Plus ialah SSD pilihan kami untuk gaming kerana ia menawarkan prestasi pantas pada harga yang lebih mampu milik berbanding 990 Pro. Untuk kegunaan konsol ia adalah lebih daripada memuaskan dan berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan. Tiada isu menjalan permainan yang memerlukan SSD pantas

Paling menarik saya rasakan selepas tiga bulan dilancarkan, harga jualannya kini boleh didapati pada harga lebih rendah berbanding harga asal RM519 (1TB), RM879 (2TB) dan RM1599 (4TB). Anda membayar lebih untuk produk Samsung yang mempunyai reputasi prestasi dan jaminan sehingga lima tahun. Kekurangan 990 EVO Plus pada hemat saya hanyalah tidak hadir dengan sinki haba terbina seperti pesaing terdekatnya

Pro

  • Prestasi pantas.
  • Tiada isu digunakan pada permainan yang memerlukan SSD prestasi tinggi di PS5.
  • Jaminan lima tahun.

Kontra

  • Tidak hadir dengan sinki haba terbina.
Komen