Seperti yang kami laporkan sebelum ini, AMD akan membuat pengumuman berkenaan siri kad grafik terbaru mereka, AMD Radeon RX 9000 pada penghujung bulan ini. David McAfee, Timbalan Presiden dan Pengurus Besar untuk bahagian Ryzen dan Radeon hari ini mengesahkan bahawa acara pengumuman mengenai siri kad grafik tersebut akan diperlihatkan pada 28 Februari ini.
Dua model kad grafik tersebut akan dilancarkan pada bulan depan, termasuklah AMD Radeon RX 9070 XT dan juga AMD Radeon RX 9070. Kedua-dua kad grafik ini akan menggunakan cip pemprosesan Navi 48, dimana model Radeon RX 9070 XT akan hadir dengan 4096 teras fizikal, manakala Radeon RX 9070 akan hadir dengan 3584 teras fizikal. Mereka juga akan menggunakan 16GB memori GDDR6 dan akan bersaing dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 yang dijangka akan dilancarkan sekitar tempoh yang sama.
Kad grafik ini akan hadir dengan ciri-ciri olahan grafik terbaru seperti pemecut AI, pengolah grafik Ray-tracing generasi ketiga mereka dan teknologi olahan resolusi tinggi dan kadar bingkai terbaru AMD FSR 4.
Terdapat juga ura-ura yang mengatakan bahawa AMD akan memperkenalkan kad grafik Radeon RX 9070 dengan 32GB memori GDDR6, tetapi Frank Azor mengesahkan bahawa berita tersebut adalah palsu. Sekiranya ia benar bahawa kad grafik RDNA 4 akan hadir dengan memori sebanyak itu, ia mungkin akan hadir melalui kad grafik AMD Radeon Pro.
AMD akan memperkenalkan dua model kad grafik RDNA 4 terlebih dahulu, iaitu AMD Radeon RX 9070 dan AMD Radeon RX 9070 XT, dan model-model lebih berkuasa ataupun lebih mampu milik akan diperkenalkan di masa hadapan.