Apple Dilaporkan Mengalami Kelewatan Dalam Pembangunan Siri Generasi Baharu
Aman
Apple sebelum ini telah memperlihatkan secara kasar Siri generasi baharu yang turut dikuasakan oleh kecerdasan buatan janaan. Dengan integrasi ini, ia sekaligus membolehkan Siri memahami konteks perbualan, dan memberikan jawapan yang lebih baik – berbanding Siri sedia ada yang memberikan respon berasaskan kepada kata kunci khusus.

Walaubagaimanapun, kini hadir laporan awal mengatakan cabaran perisian termasuk dari segi pepijat yang membuatkan pengenalan Siri generasi baharu berkenaan akan mengalami penangguhan.
Pada awalnya, Apple menyasarkan bulan April untuk pengenalan berkenaan, tetapi kini mungkin ditangguhkan sehingga Mei 2025 kelak. Mengikut ujian dalaman yang dilakukan juga, dikatakan Siri tidak memberikan pengalaman yang konsisten apabila digunakan.
Sebelum ini sendiri, sejumlah pengguna turut mengadu berkenaan ciri rumusan berita yang tidak berfungsi dengan baik pada Apple Intelligence, selain kaedah membuang objek dalam gambar yang tidak kemas berbanding penawaran Samsung.
Untuk makluman juga, sebelum ini Apple sekadar mengatakan Siri generasi baharu akan hadir melalui kemaskini iOS 18 pada 2025 kelak, dan tidak menyatakan tarikh pengenalan rasmi khusus untuknya, sekaligus memberikan lebih masa untuk Apple dalam membangunkan dan mengoptimasikannya.