Garmin telah melancarkan jam tahan lasak Tactix 8 baharunya dengan beberapa peningkatan menarik. Antaranya seperti dua pilihan saiz sama ada 47mm yang dilengkapi paparan AMOLED dengan hayat bateri sehingga 16 hari dalam mod jam tangan pintar. Manakala model 57mm lebih besar pula menggunakan paparan solar sentiasa hidup dengan ketahanan bateri sehingga 48 hari.


Ia dibina dengan mengikut piawaian ketenteraan MIL-STD-810 untuk memastikan jam tangan bertahan dalam pelbagai keadaan mencabar termasuk suhu yang melampau pada altitud tinggi dan tekanan udara rendah. Ia juga boleh dibawa menyelam pada kedalaman 40meter melalui butang khusus terbina di samping mempunyai pelindung sensor baharu bagi melindungi sensor yang penting. Selain itu, lampu suluh terbina kini tersedia pada semua model Tactix 8 yang menyediakan kadar kecerahan yang boleh ditetapkan.


Dengan pembesar suara dan mikrofon terbina pula membolehkan sebarang panggilan dibuat terus daripada jam tanga sekiranya perlu. Arahan melalui suara turut boleh dilakukan untuk beberapa fungsi dan boleh diaktifkan tanpa memerlukan sambungan ke telefon pintar. Terdapat juga fungsi Applied Ballistics yang sesuai untuk aktiviti menembak jarak jauh berdasarkan ciri senapang, peluru dan pelbagai keadaan persekitaran. Pengguna turut boleh melihat kontur bumi melalui fungsi TopoActive.

Fungsi-fungsi lain yang turut melengkapi jam tangan ini termasuk Pulse Ox, Body Battery Energy Monitoring, Jet Lag Adviser, Advanced Sleep Monitoring, Nap Detection dan banyak lagi. Tactix 8 juga mempunyai ECG yang boleh membantu pengguna merekodkan corak jantung masing-masing dan memeriksa petanda awal kepada fibrilasi atrium.
Ia juga sesuai digunakan oleh juruterbang kerana dilengkapi ciri Direct-To-Navigation membolehkan mereka mengesan laluan ke lapangan terbang berdekatan. Tactix 8 dijual bermula $2,299 (~RM10,207) (47mm), $2,499 (~RM11,096) (51mm) dan $2,799 (~RM12,427) (51mm Elite).